Wanita hamil maut dipukul suami gara-gara masakan terlalu masin

Seorang wanita hamil di Uttar Pradesh, India maut dipercayai dipukul suami hanya kerana masakan terlalu masin. Gambar hiasan
Seorang wanita hamil di Uttar Pradesh, India maut dipercayai dipukul suami hanya kerana masakan terlalu masin. Gambar hiasan
A
A
A

NEW DELHI – Seorang wanita hamil berusia 25 tahun, dikenali sebagai Brajbala, maut selepas dipercayai dipukul suaminya hanya kerana makanan yang dimasaknya terlalu masin.

Kejadian tragis itu berlaku di Desa Nagda Dhak, Daerah Kasganj, Uttar Pradesh, India.

Menurut pihak polis, pertengkaran antara Brajbala dan suaminya, Ramu, bertukar ganas sehingga mangsa terjatuh dari bumbung rumah dan mengalami kecederaan parah.

Mangsa sempat dibawa ke hospital daerah sebelum dirujuk ke Aligarh Medical College berikutan keadaannya yang kritikal namun disahkan meninggal dunia pada Khamis lalu.

Ketua Polis Tambahan Kasganj, Rajesh Bharti, mengesahkan siasatan kes berkenaan telah dibuka terhadap Ramu.

"Siasatan sedang dijalankan. Suspek yang melarikan diri selepas kejadian berjaya ditangkap penduduk kampung dan diserahkan kepada polis pada malam yang sama,” katanya.

Mayat mangsa turut dihantar untuk bedah siasat bagi mengesahkan punca kematian sebenar.

Sementara itu, keluarga Brajbala mendakwa kejadian ini bukan kali pertama wanita itu menjadi mangsa penderaan suami.

Mereka mendedahkan Ramu sering bertindak kasar atas perkara remeh selain dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan iparnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam laporan polis, keluarga turut menamakan tiga individu yang didakwa terbabit dalam penderaan berulang terhadap Brajbala.

Kes ini sekali lagi mencetuskan perhatian terhadap isu keganasan rumah tangga di India yang masih berada pada tahap membimbangkan dan sering meragut nyawa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!