Kereta hilang gara-gara kecuaian pusat cuci

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki kesal terhadap kecuaian kakitangan sebuah pusat cuci kereta di sebuah pasar raya terkemuka di bandar raya ini sehingga menyebabkan kereta milik bapa mertuanya dilarikan individu tidak dikenali pada Isnin.
Mangsa, Muhammad Sharuddin Mat Masrol, 30, berkata, kereta jenis Toyota Camry ACV40 berwarna putih dengan nombor pendaftaran WTE8278 milik bapa mertuanya itu dihantar ke sebuah bengkel di bandar raya ini untuk dibaiki kerana disyaki mempunyai masalah pada kotak gear.
Menurutnya, selepas kereta tersebut siap dibaiki, dia dan isterinya pergi ke Johor Bahru bagi membawa pulang kenderaan itu ke rumah.
“Dalam perjalanan pulang ke Bandar Penawar, saya dan isteri singgah ke sebuah pasar raya di sini untuk berbelanja. Kami tinggalkan kereta serta kuncinya di sebuah pusat cuci kereta di pasar raya tersebut.
“Bagaimanapun selepas kira-kira 45 minit berbelanja, saya kembali untuk mendapatkan kereta ayah mertua saya. Namun, pekerja di situ memberitahu bahawa kereta tersebut sudah diambil oleh seseorang yang mendakwa dirinya kawan saya, sedangkan saya langsung tidak kenal atau meminta sesiapa mengambil kenderaan itu,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Muhammad Sharuddin, dia kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, dia kesal dengan kejadian berkenaan kerana melibatkan kehilangan kereta yang amat penting untuk kegunaan harian bapa mertuanya.
“Saya telah membuat laporan polis berhubung perkara ini atas kecuaian pekerja pusat cuci kereta tersebut yang menyerahkan kunci kereta kepada individu tidak dikenali.
“Saya juga akan memfailkan saman atas kecuaian yang berlaku serta berharap agar kereta itu dapat segera ditemukan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan kejadian serta menerima laporan berkaitan kehilangan kereta berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
