Lebih 1,200 pelajar berisiko cicir persekolahan di Perak

IPOH - Seramai 1,254 pelajar dikesan berisiko cicir di Perak tahun ini selepas menunjukkan tanda-tanda yang boleh menyebabkan mereka berhenti bersekolah seperti masalah disiplin, kehadiran yang tidak menentu atau masalah akademik.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, jumlah itu melibatkan 231 murid sekolah rendah dan 1,023 orang pelajar daripada sekolah menengah.
Menurut beliau, seramai 743 murid pula telah direkodkan cicir dan hanya 133 orang telah kembali sekolah setakat ini.
Tambahnya, tidak berminat ke sekolah menjadi faktor keciciran tertinggi dengan mencatatkan seramai 334 orang diikuti dibuang sekolah (230 orang) dan bekerja seramai 86 orang.
"Bagi memastikan keciciran ini dapat di atasi dan dicegah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) melaksanakan beberapa program yang berkaitan antaranya Red Flag Risiko Cicir (RFRC) yang mengesan murid berisiko cicir dengan lebih awal agar intervensi dapat dijalankan dengan segera.
"Dalam pelaksanaan RFRC ini, peratus kehadiran keseluruhan murid di Perak terus meningkat daripada 90.22 peratus pada tahun 2023 kepada 91.29 peratus pada tahun 2024 dan 92.69 peratus sehingga akhir Ogos 2025.
"Selain itu, dialog prestasi berfokus kehadiran JPN-Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dilakukan dalam usaha mendayakan PPD dalam meningkatkan prestasi kehadiran sekolah dan dialog prestasi berfokus kehadiran JPN-Sekolah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohamad Amin Roslan (PN - Pengkalan Hulu) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.
Khairudin berkata, bagi menimbulkan minat murid ke sekolah, JPN telah menjalankan program dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal (TVET) bagi memberi peluang dan pendedahan maklumat berkaitan kerjaya.
"Program ini menyediakan maklumat berkaitan institusi TVET negeri Perak yang mana pelajar cicir atau kurang berminat dengan akademik boleh terus mendaftarkan diri untuk mengikuti pengajian di institusi-institusi terlibat.
"Selain itu, inisiatif Propulih 2.0 Perak Sejahtera 2025 dilakukan sebagai usaha meningkatkan penguasaan literasi dan mengurangkan kadar keciciran akademik dalam kalangan murid.
"Bagi murid lemah literasi dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Propulih 1.0 yang dilancarkan tahun lepas menyasarkan pelajaran peralihan di peringkat sekolah menengah," katanya.
Ringkasan AI
- Seramai 1,254 pelajar di Perak berisiko cicir pada tahun ini
- Jumlah tersebut terdiri daripada 231 murid sekolah rendah dan 1,023 pelajar sekolah menengah
- Sebanyak 743 murid telah direkodkan cicir dengan 133 daripadanya kembali ke sekolah
- Tidak berminat ke sekolah adalah faktor utama keciciran diikuti dibuang sekolah dan bekerja
- Jabatan Pendidikan Negeri Perak melaksanakan program Red Flag Risiko Cicir dan inisiatif lain untuk menangani masalah keciciran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
