Perak berjaya catat sifar miskin tegar tahun ini

IPOH - Seramai 9,686 Ketua Isi Rumah (KIR) di Perak berjaya keluar daripada status miskin tegar bagi tempoh tahun 2024 hingga bulan ini.
Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, jumlah itu melibatkan 8,986 KIR tahun lepas dan 700 KIR sehingga 3 September lalu.
"Jumlah ini menjadikan angka kosong KIR miskin tegar di Perak.
"Selain itu, sehingga 3 September lalu kita juga telah berjaya mengeluarkan seramai 5,719 KIR dari status miskin menjadikan angka terkini negeri adalah sebanyak 2,064 KIR iaitu penurunan sebanyak 73.6 peratus," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr Mohamad Yusri Bakir (BN-Ayer Kuning) sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.
Salbiah berkata, pelbagai program pembasmian kemiskinan dilaksanakan termasuk memperkenalkan Program One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial Negeri Perak.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor itu, objektif program berkenaan adalah mengumpulkan lebih 30 agensi pemberi bantuan di bawah satu bumbung bagi memudahkan capaian perkhidmatan oleh kelompok miskin dan miskin tegar ke atas bantuan yang diperlukan.
"Pada tahun 2024 sahaja telah mencatatkan 10,843 transaksi yang meliputi perkhidmatan berbentuk kebajikan, perlindungan sosial, keusahawanan, khidmat nasihat, pendidikan, kesihatan, pertanian dan perikanan serta pekerjaan, menyelesaikan kes serta pemadanan bantuan yang bersesuaian dan pendedahan latihan kemahiran bersifat quick win.
"Tahun ini, program OSC Sejahtera Sosial negeri ini mengambil pendekatan baharu yang mana program dengan pendekatan yang sama telah memberi tumpuan intervensi semua agensi kerajaan ke peringkat mukim supaya lebih berfokus dan dekat dengan rakyat.
"Pada tahun ini juga, pengisian program tertumpu kepada generasi kedua dan murid tercicir pelajaran bagi memastikan kemiskinan sesebuah keluarga itu tidak diwarisi dan seterusnya berlaku mobiliti sosial ke tingkat yang lebih baik bagi keluarga berkenaan.," jelasnya.
Salbiah berkata, kerajaan negeri turut memberi penekanan kepada program peningkatan pendapatan melalui bantuan peralatan perniagaan dan pemadanan pekerjaan yang dilihat dapat membantu peserta meningkatkan ekonomi kendiri dan keluarga.
"Program seumpamanya banyak disediakan oleh agensi-agensi antaranya bantuan peralatan melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Geran Gerak melalui Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) dan Bantuan Peralatan Biznita.
"Selain itu, bantuan bulanan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak masih diteruskan kepada kumpulan sasar yang benar-benar memerlukan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
