Tiada kompromi anggota terbabit ketirisan sempadan - Ketua Polis Kedah

ALOR SETAR – Polis Kedah menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota penguat kuasa termasuk anggota polis sendiri sekiranya didapati bersekongkol dalam kegiatan penyeludupan atau ketirisan di sempadan negara.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, tindakan tegas akan diambil jika terdapat bukti penglibatan anggota agensi penguatkuasaan dalam aktiviti haram di sempadan Malaysia–Thailand.
“Jika ada unsur ketirisan oleh mana-mana anggota, termasuk polis sendiri, saya minta supaya ia dilaporkan kepada kami.
“Kita tidak akan berkompromi, apatah lagi jika ia melibatkan sindiket senjata api dan dadah. Mana mungkin kita hendak berkompromi,” katanya pada sidang akhbar di sini, Selasa.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Town Hall Discussion Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah di Dewan Konvokesyen Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU).
Menurut Adzli, usaha memperketatkan kawalan di sempadan akan terus dipertingkatkan secara berterusan dan bukan hanya dilakukan selepas berlakunya insiden.
“Kita sentiasa pertingkatkan kawalan sempadan, bukan tunggu ada kes baharu nak bertindak. Kawalan ini adalah usaha berterusan,” ujarnya.
Mengulas mengenai kes penahanan seorang rakyat Malaysia di Danok, Thailand bersama dua laras senjata api jenis M16 serta 450 butir peluru, beliau memaklumkan bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak Bukit Aman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

