Dana PTPK kritikal, ribuan pelajar B40 TVET terjejas

KUALA LUMPUR – Persekutuan Pusat Bertauliah JPK Malaysia (FeMAC), yang mewakili lebih 350 pusat latihan kemahiran swasta di seluruh negara, melahirkan kebimbangan serius berhubung isu kekangan dana pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) yang semakin meruncing serta memberi kesan besar kepada pelajar khususnya daripada keluarga B40.
Menurut Exco FeMAC, Tengku Ahmad Mujahid Tengku Mahmud, sejak dua tahun kebelakangan ini, PTPK telah beberapa kali menghentikan pembiayaan pinjaman pelajaran serta elaun sara hidup bulanan, menyebabkan ribuan pelajar di seluruh negara terjejas.
“Hampir 80 peratus daripada pelajar TVET datang daripada keluarga B40 yang menjadikan bidang ini sebagai peluang kedua untuk membina masa depan. Namun, isu ini memberi tekanan besar kepada mereka dan keluarga,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Antara kesan yang dialami termasuklah pelajar baharu tidak menerima pembiayaan seperti dijanjikan, pelajar sedia ada tidak memperoleh elaun sara hidup, selain mereka yang ingin melanjutkan pengajian dari peringkat sijil ke diploma tidak dapat meneruskan pengajian.
Situasi itu juga menjejaskan institusi TVET swasta apabila berdepan cabaran kewangan serta kekangan dalam pengambilan pelatih baharu.
“Masalah ini bukan sahaja mengganggu kelancaran akademik pelatih, malah turut mengancam agenda nasional kerana Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 1.3 juta tenaga kerja mahir menjelang 2030.
“Jika pengajian mereka terhenti, negara berisiko kehilangan sebahagian besar tenaga muda tempatan dan terpaksa bergantung kepada pekerja asing,” jelasnya.
FeMAC menegaskan bahawa isu sebenar adalah ketidakcukupan dana, bukannya kelemahan institusi.
Sehubungan itu, tegasnya, adalah tidak wajar sekiranya PTPK mengenakan syarat tambahan yang tidak relevan kepada pusat latihan.
“Penarafan Tunggal TVET sepatutnya dijadikan kriteria utama kelayakan institusi kerana ia mendorong peningkatan kualiti serta memberi hasil terbaik kepada pelatih,” tegasnya lagi.
Bagi mengatasi masalah ini, FeMAC menuntut kerajaan menyalurkan dana tambahan segera bagi tahun 2025 untuk menampung permintaan semasa.
Ia turut mencadangkan agar satu peruntukan tetap sebanyak RM500 juta setahun disediakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030) khusus untuk PTPK.
Selain itu, elaun sara hidup yang tertunggak perlu segera dibayar kepada pelajar sedia ada, manakala satu mekanisme penyelarasan baharu perlu diwujudkan agar tidak lagi berlaku gangguan dalam proses permohonan pinjaman.
FeMAC juga menuntut penjelasan terbuka daripada kementerian berhubung dasar baharu yang diguna pakai serta penyelesaian jangka panjang yang akan dilaksanakan.
FeMAC turut menyokong usaha mempergiatkan kutipan bayaran balik daripada graduan latihan kemahiran sebagai mekanisme menambah baik dana.
Namun, ujarnya, institusi tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kegagalan individu pelatih membayar semula pinjaman kerana ia berada di luar kawalan mereka.
“Perkembangan positif TVET dengan wujudnya institusi baharu perlu diraikan bersama institusi lama, namun ia hanya dapat dicapai sekiranya dana yang lebih besar disuntik.
“Tanpa langkah ini, aspirasi negara untuk menjadikan TVET tonggak utama pendidikan akan terbantut,” jelasnya.
FeMAC, tambahnya, kekal komited bekerjasama dengan kerajaan, PTPK dan semua pemegang taruh bagi memastikan TVET swasta terus relevan, mampan serta menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja mahir negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

