Op Sasar skala besar gempur PATI di 16 lokasi seluruh negara

SHAH ALAM – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melancarkan Op Sasar berskala besar di 16 lokasi seluruh negara pada Rabu.
Operasi tersebut menyasarkan sektor-sektor yang bergantung kepada warga asing sebagai tenaga kerja antaranya pembinaan, perladangan dan perkhidmatan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, operasi itu dilaksanakan sebagai amaran kepada pihak majikan khususnya agar tidak menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai pekerja.
Katanya, sebanyak 16 lokasi Op Sasar dijalankan serentak mengikut ketetapan waktu yang sama di seluruh negara bertujuan mengingatkan majikan supaya tidak mengambil pekerja dalam kalangan PATI.
“Op Sasar ini telah memeriksa 2,740 orang sebelum menahan 1,270 warga asing serta 11 majikan.
“Operasi ini dijalankan berikutan aduan dan risikan di lokasi-lokasi terbabit yang dikatakan menjadi tumpuan pekerja warga asing termasuk golongan PATI,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata, JIM akan mendakwa majikan yang melanggar peraturan.
Jelasnya, JIM sememangnya tegas dan komited dalam memburu PATI serta majikan, dan tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan ke atas majikan yang melanggar peraturan termasuk menggantung kuota pengambilan pekerja atau tindakan sivil.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga 6 Mei tahun ini (Selasa), seramai 30,993 warga asing telah dikenakan tindakan dan 634 majikan ditangkap kerana menggajikan serta melindungi PATI.
“Dijangka jumlah berkenaan akan terus meningkat sepanjang tahun ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
