SARA Untuk Semua dikreditkan hari ini, kategori sejuk beku ditambah

SARA Untuk Semua memberikan manfaat kepada lebih 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia dewasa. Foto fail Bernama
SARA Untuk Semua memberikan manfaat kepada lebih 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia dewasa. Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Untuk Semua mula disalurkan hari ini membabitkan peruntukan RM2.2 bilion dan memberikan manfaat kepada lebih 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia dewasa, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

Menerusi satu kenyataan, kementerian itu memaklumkan penerima akan mendapat RM100 secara sekali beri (one-off) yang boleh digunakan hingga 31 Disember 2026.

"SARA Untuk Semua membolehkan isi rumah menerima bantuan berganda bergantung pada jumlah ahli dewasa yang layak.

"Sebagai contoh, keluarga dengan suami, isteri dan dua anak berumur 18 tahun ke atas akan menerima keseluruhan RM400, tidak termasuk bantuan SARA Bulanan sekiranya berkelayakan,” menurut kenyataan itu.

MoF memaklumkan berdasarkan maklum balas rakyat, kerajaan turut menambah baik kemudahan pembelian dengan meluaskan kategori barangan kepada makanan sejuk beku, menjadikan 15 kategori keseluruhannya.

Langkah itu juga meningkatkan jumlah barangan yang layak dibeli kepada 140,000 jenis barangan.

Selaras dengan Perutusan Tahun Baharu 2026 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan menyasarkan 10,000 kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA menjelang hujung tahun, manakala jarak kedai runcit terdekat dikurangkan daripada 10 kilometer kepada 7 kilometer.

Orang ramai boleh menyemak status pengkreditan serta soalan lazim (FAQ) melalui portal rasmi https://sara.gov.my.

MoF turut mengingatkan penerima supaya berwaspada dengan pautan palsu dan cubaan penipuan, serta kementerian tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp, dan sebarang maklumat terkini hanya boleh dirujuk menerusi portal rasmi STR. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Untuk Semua mula disalurkan hari ini dengan peruntukan RM2.2 bilion untuk lebih 22 juta warganegara dewasa
  • Penerima akan mendapat RM100 secara sekali beri yang boleh digunakan hingga 31 Disember 2026
  • Isi rumah boleh menerima bantuan berganda bergantung pada jumlah ahli dewasa yang layak
  • Kategori barangan yang boleh dibeli dengan SARA telah diperluas kepada 15, termasuk makanan sejuk beku dengan 140,000 jenis barangan layak
  • Kerajaan menyasarkan 10,000 kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA dengan mengurangkan jarak kedai runcit terdekat dari 10 kilometer kepada 7 kilometer

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!