Usah biar kes rasuah profil tinggi tanpa noktah

PENDEDAHAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung beberapa kes berprofil tinggi akan diperincikan minggu ini sekali lagi mengingatkan kita tentang harapan rakyat terhadap usaha membanteras rasuah.
Ops Sikaro, projek Lebuhraya Maju Expressway (MEX II), Sapura Energy Berhad (SEB) dan kes melibatkan tokoh politik serta pegawai kanan kerajaan bukanlah kes kecil yang boleh dipandang ringan. Kes-kes ini melibatkan wang rakyat, dasar negara dan nama baik institusi.
Justeru, setiap perkembangan membawa bersama harapan besar bahawa rasuah benar-benar diperangi tanpa pilih kasih.
Namun, pengalaman lalu mengajar kita bahawa rakyat tidak mudah berpuas hati hanya dengan pengumuman siasatan.
Yang ditunggu ialah tindakan undang-undang yang telus, cepat dan tidak berkompromi. Rakyat sudah terlalu lama menanti kes-kes besar ini dibawa ke muka pengadilan.
Malah, setiap kali SPRM mengumumkan siasatan sedang berjalan, timbul persoalan sama ada proses itu akan berakhir dengan tindakan nyata atau sekadar berlarutan tanpa noktah.
Ketelusan menjadi kunci kerana tanpa penjelasan yang jelas, rakyat mudah terjebak persepsi bahawa keadilan hanya memilih bulu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menjelaskan, siasatan sedang dipercepatkan kerana melibatkan transaksi kewangan rumit, ratusan akaun bank dan pelbagai pihak berkepentingan.
Penjelasan ini wajar diberi perhatian, tetapi dalam masa sama, SPRM harus memahami bahawa kepercayaan rakyat mudah terhakis jika kes dibiarkan berlarutan tanpa kesudahan.
Rakyat tidak mahu lagi melihat kes besar berakhir dengan senyap, ditutup begitu sahaja atau hanya dikenakan tindakan ringan. Sebaliknya, mereka mahu melihat pesalah benar-benar didakwa, dibicarakan dan dihukum setimpal.
Hanya dengan itu mesej bahawa Malaysia serius membanteras rasuah dapat disampaikan dengan jelas.
SPRM tidak boleh dilihat sekadar mengumumkan siasatan demi siasatan. Mereka perlu memastikan setiap kes diselesaikan dengan ketelitian tetapi dalam tempoh munasabah.
Malaysia hanya mampu membina semula keyakinan rakyat terhadap institusi negara jika rasuah diperangi secara konsisten tanpa mengira pangkat atau jawatan. Inilah ujian integriti negara yang sebenar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
