Rumah berpagar, berpengawal dijadikan stor transit dadah

Ab Rahaman (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di IPK Johor pada Isnin.
Ab Rahaman (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di IPK Johor pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Taktik satu sindiket pengedaran dadah yang menjadikan kawasan perumahan berpagar dan berpengawal sebagai stor penyimpanan dadah terbongkar apabila Polis Johor berjaya merampas dadah bernilai RM2.57 juta hasil serbuan di kawasan Bandar Penawar, Kota Tinggi, minggu lalu.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, bermula jam 10.30 malam pada 2 September hingga jam 4 pagi, 3 September itu turut menahan tiga individu iaitu seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan serta seorang wanita warga Indonesia berusia antara 34 hingga 43 tahun, bersama sejumlah rampasan dadah.

"Sindiket yang dipercayai mula aktif beroperasi sejak April 2024 ini menjadikan rumah teres berpagar dan berpengawal sebagai stor transit dadah sebelum diedarkan ke pasaran luar negara.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine, manakala semakan rekod menunjukkan dua daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini pada Isnin.

Ab Rahaman berkata, polis berjaya merampas dadah anggaran berat 80,330 gram syabu (melibatkan 76 bungkusan), dengan nilai RM2,570,560.

"Sekiranya dadah tersebut terlepas ke pasaran, ia berupaya digunakan oleh seramai 401,650 penagih," ujarnya.

Tambahnya, polis turut menyita enam kenderaan melibatkan sebuah pacuan empat roda, dua buah kereta, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), dua buah motosikal, wang tunai termasuk mata wang asing (Rupiah Indonesia), serta pelbagai jenis barang kemas.

"Jumlah keseluruhan sitaan adalah RM410,104.93. Ini menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan dalam operasi berkenaan mencecah RM2,980,664.93," jelasnya.

Katanya, kesemua suspek telah direman sehingga 9 September 2025 bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel Berkaitan:

"Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Sekiranya hukuman penjara seumur hidup dijatuhkan, pesalah hendaklah juga disebat tidak kurang daripada 15 sebatan," ujarnya.

Menurutnya, siasatan mendapati lelaki warga tempatan mempunyai sembilan rekod jenayah, wanita warga tempatan enam rekod, manakala wanita warga Indonesia tidak memiliki sebarang rekod jenayah.

“Siasatan masih diteruskan dan berdasarkan risikan positif, polis menjangka ada lagi tangkapan dalam masa terdekat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!