Tiga sindiket kecundang, dadah RM16 juta dirampas

Rusdi (tiga kanan) menunjukkan dadah yang dirampas.
Rusdi (tiga kanan) menunjukkan dadah yang dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Taktik tiga sindiket menjadikan kereta, lot kedai dan kondominium sebagai tempat menyimpan dadah bernilai RM16.01 juta terbongkar susulan tangkapan lima lelaki di Lembah Klang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, serbuan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Kuala Lumpur hasil risikan serta maklumat awam.

“Sindiket pertama dikesan beroperasi di sekitar Ampang, dengan dua lelaki termasuk seorang warga Filipina diberkas dalam serbuan pada 29 April lalu.

“Pemeriksaan terhadap kereta yang dinaiki suspek menemukan 56 bungkusan syabu seberat 58.42 kilogram (kg),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, pada Khamis.

Rusdi berkata, siasatan lanjut membawa kepada satu lagi kereta yang menyimpan 146.76 kg syabu, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak 205 kg bernilai RM6.56 juta.

“Sindiket itu dipercayai menerima bekalan dari Kelantan sebelum disimpan dalam kenderaan dan diedarkan sekitar Lembah Klang.

“Ini dipercayai kali pertama mereka beroperasi di sini dan kedua-dua suspek direman selama 10 hari bermula 30 April hingga 9 Mei ini,” katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan kedua pula pada Isnin, seorang lelaki berusia 45 tahun ditahan bersama 1.86 gram syabu.

“Suspek kemudian membawa polis ke sebuah lot kedai di pusat beli-belah di Jalan Imbi yang dijadikan stor dadah.

Artikel Berkaitan:

“Pemeriksaan lanjut menemukan 221 kg syabu yang dianggarkan bernilai RM7.07 juta. Sindiket ini dipercayai aktif sejak Februari dan menyimpan dadah di lokasi tumpuan awam bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang mempunyai lima rekod jenayah lampau dan positif dadah jenis methamphetamine itu direman selama enam hari hingga 11 Mei.

“Dalam serbuan ketiga yang dijalankan pada Selasa, dua lelaki tempatan berusia 23 dan 33 tahun telah ditahan di sebuah kondominium mewah di Taman Mastiara,” katanya.

Rusdi berkata, polis menemui pelbagai jenis dadah seperti ketamin, pil dan serbuk ekstasi serta Erimin 5 dengan jumlah keseluruhan rampasan seberat lebih 17 kg bernilai RM2.38 juta.

“Turut disita wang tunai RM320,250 dan dua kenderaan. Sindiket ini dipercayai menggunakan kondominium mewah sebagai lokasi memproses dan menyimpan dadah,” katanya.

Beliau berkata, semua rampasan dalam ketiga-tiga kes itu boleh menampung penggunaan seramai 3.2 juta penagih.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!