Sindiket edar dadah tumpas, 4 ditahan termasuk pasangan kekasih

IPOH – Empat individu termasuk sepasang kekasih ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah jenis ganja dan methylenedioxymethamphetamine (MDMA) bernilai lebih RM4.6 juta di daerah Manjung, Isnin lalu.
Kesemua mereka ditahan di tiga lokasi berasingan dalam serbuan pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di Sitiawan dan Lumut.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, serbuan pertama sekitar jam 5 pagi itu melibatkan seorang lelaki berusia 29 tahun di sebuah bilik hotel di Sitiawan.
“Hasil soal siasat, suspek telah membawa pasukan ke sebuah kereta di parkir hotel dan menemui 16 ketulan mampat daun-daun kering disyaki ganja seberat 16.6 kilogram (kg) bernilai RM51,500.

“Suspek yang bekerja sebagai penghantar barangan itu didapati positif dadah jenis ganja dan telah direman selama tujuh hari sehingga Ahad bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Khamis.
Noor Hisam berkata, penguatkuasaan diteruskan dengan menyerbu sebuah rumah di kawasan Simpang Tiga, Sitiawan dan menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 28 tahun serta wanita warga Vietnam berusia 24 tahun.
“Hasil pemeriksaan menjumpai serbuk jenis MDMA atau ekstasi seberat 15.5kg serta peralatan yang digunakan untuk membungkus dadah.
“Berpandukan arah daripada kedua-dua suspek, pasukan turut menahan seorang lelaki berusia 50 tahun di sebuah pangsapuri di Taman Sejati dan menemui ketamin serta 50 biji pil Erimin 5 seberat 0.13kg,” katanya.
Tambahnya, serbuan diteruskan di sebuah rumah di Desa Manjung Raya, Lumut yang dipercayai menjadi tempat pembungkusan dan stor penyimpanan dadah pada Selasa.
“Polis menjumpai serbuk MDMA dan ketamin seberat 11.7kg serta peralatan yang dipercayai digunakan untuk pembungkusan dadah dengan nilai keseluruhan RM4.59 juta,” katanya.
Menurut Noor Hisam, ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan.
Jelas beliau, siasatan lanjut mendapati kedua-dua sindiket tersebut dipercayai mula aktif sejak Mac lalu.
“Dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan serta negeri-negeri lain.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
