Polis tumpas aktiviti sabung ayam

JOHOR BAHRU – Seramai 43 individu termasuk seorang wanita ditahan ketika melakukan aktiviti sabung ayam di Kampung Melayu Pandan, Johor Bahru dan Felda Bukit Aping Barat, Kota Tinggi pada Ahad lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, serbuan antara jam 12.35 tengah malam hingga 4 petang adalah hasil risikan dan maklumat awam mengenai penganjuran aktiviti perjudian hujung minggu.
Katanya, seramai 28 warga tempatan dan 15 warga asing berusia antara 21 hingga 71 tahun ditahan termasuk tiga penganjur dan pembantu.
“Turut dirampas 22 ayam hidup, 12 ayam mati, sangkar besi, peralatan sabung ayam, pisau taji, penimbang dan wang tunai RM22,489,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ab Rahaman berkata, kumpulan itu memilih kawasan pedalaman bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, selain hanya membenarkan pelanggan dikenali dan dijemput sahaja ke lokasi.
“Setiap sesi melaga ayam berlangsung kira-kira 20 minit dengan lima hingga 10 pertaruhan dijalankan. Jumlah pertaruhan antara RM550 hingga RM2,000 dan penganjur mengambil komisen 10 peratus daripada nilai wang pertaruhan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 32(1)(a) dan Seksyen 32(2)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Polis memandang serius kegiatan perjudian haram terutama melibatkan kekejaman terhadap haiwan. Tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur, pemain mahupun penyokong,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti perjudian haram ke talian Hotline Polis Johor di 019-279 2095 atau Bilik Gerakan di 07-221 2999.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

