11 lelaki dicekup ketika leka sabung ayam belakang rumah

KUALA TERENGGANU – Polis menahan 11 lelaki termasuk seorang warga Indonesia yang disyaki terbabit aktiviti sabung ayam ketika serbuan dalam operasi Op Dadu di belakang sebuah rumah di Kampung Atas Tol, di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, serbuan kira-kira jam 12.30 tengah hari itu dilakukan sepasukan anggota dari Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri.
Menurutnya, semua suspek berusia lingkungan 32 hingga 66 tahun itu ditahan kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pertaruhan menggunakan haiwan.

"Polis merampas empat ekor ayam jantan, sebuah bon sabung ayam berwarna biru muda dan hitam serta sebuah beg mengandungi jarum, benang, pita perubatan dan wang tunai berjumlah RM5,823 dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.
"Siasatan terhadap kes ini dijalankan di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 32(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015," katanya di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau berkata, PDRM akan terus bekerjasama dengan agensi lain dalam membanteras jenayah bagi memastikan keamanan di negeri ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
