Polis rampas 936 ayam sabung baka Filipina, 3 individu diberkas

Antara ayam sabung baka dari Filipina yang dirampas dalam satu serbuan di Papar, Sabah pada Jumaat.
Antara ayam sabung baka dari Filipina yang dirampas dalam satu serbuan di Papar, Sabah pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Polis merampas 936 ekor ayam sabung baka dari Filipina dan menahan tiga individu termasuk dua warga asing dalam satu serbuan di Papar, Sabah pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, serbuan itu dilakukan selepas Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) JKDNKA menerima maklumat mengenai aktiviti penyimpanan baka ayam sabung dari Filipina tanpa lesen sah di kawasan berkenaan.

"Serbuan pada jam 10.35 pagi dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Cawangan Kota Kinabalu itu turut merampas 30 sangkar besi, 107 besi penanda ayam serta pelbagai jenis vitamin dan ubat-ubatan untuk kegunaan ayam berkenaan.

"Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM4,684,825.20," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Azmi berkata, serbuan itu dijalankan bagi mengekang aktiviti pemeliharaan ayam sabung dari negara jiran tanpa lesen sah serta membanteras sebarang kegiatan perjudian sabung ayam di negeri berkenaan.

"Individu yang ditahan melibatkan seorang lelaki tempatan serta masing-masing seorang lelaki warga Indonesia dan Filipina berusia antara 38 hingga 59 tahun.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan 2015 kerana dipercayai mengimport haiwan tanpa lesen," katanya.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, pihaknya telah melakukan 179 serbuan di seluruh negara dan menahan 314 individu atas pelbagai kesalahan sejak Januari hingga Ahad lalu.

"Keseluruhan jumlah rampasan bagi tempoh berkenaan dianggarkan berjumlah RM550,947,488.81," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!