Lelaki Mesir didenda RM4,000 jual perhiasan al-Quran silap cetak

Tertuduh (kiri) ketika tiba di Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu.
Tertuduh (kiri) ketika tiba di Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki warga Mesir didenda RM4,000 selepas mengaku salah menjual dan memiliki perhiasan mengandungi kesilapan cetakan ayat al-Quran di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.

Tertuduh, Elkilany Osama Aly Shaban Ahmed membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Yuhanis Mohd Roslan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 1.15 tengah hari di sebuah pasar raya di sini pada 21 Mac 2024.

Pemilik premis itu dituduh mengikut Seksyen 14(1) Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh (kanan) didakwa menjual dan memiliki perhiasan mengandungi kesilapan cetakan ayat al-Quran di Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu pada Isnin.
Tertuduh (kanan) didakwa menjual dan memiliki perhiasan mengandungi kesilapan cetakan ayat al-Quran di Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu pada Isnin.

Mengikut fakta kes, antara barangan dirampas ialah lima unit al-Quran Multazan saiz A4, dua unit al-Quran Ar-Riyad saiz A5, tiga unit bingkai al-Quran dan empat unit jam al-Quran yang didapati mempunyai kesilapan ayat.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Nur Nabiha Izzati Wahit, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara dua tahun sekiranya gagal membayar denda.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, dia menjelaskan denda berkenaan dan mahkamah turut memerintahkan barangan kes dilupuskan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!