[VIDEO] Rawat hati dengan al-Quran

KOTA BHARU – Usaha mengekang gejala buli dalam kalangan pelajar tidak cukup dengan penguatkuasaan disiplin semata-mata, sebaliknya perlu diperkukuh melalui penghayatan al-Quran sebagaimana diketengahkan menerusi Malaysia #QuranHour 2025.
Pengetua Maahad Ar-Rahmah Kenali, Mohamad Mohd Noor berkata, program berkenaan selaras usaha sekolah membudayakan dan menghayati bacaan al-Quran dalam kalangan pelajar setiap hari sebelum sesi pembelajaran bermula.

“Warga Maahad Ar-Rahmah Kenali menyokong program diadakan, malah seluruh pelajar kami membaca sehelai al-Quran secara berjemaah di perhimpunan setiap pagi.
“Kami juga menggalakkan pelajar menyertai program tersebut,” katanya yang ditemui Sinar Harian ketika Jelajah Kempen Malaysia #QuranHour oleh Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) di Kubang Kerian pada Ahad.
Turut hadir, Pengarah Program Malaysia #QuranHour Kelantan, Zaharah Che Isa.
Mohamad berkata, inisiatif seperti Malaysia #QuranHour 2025 wajar dijadikan sebahagian usaha membina benteng rohani, sekali gus mengelakkan pelajar terjebak gejala tidak sihat termasuk perbuatan membuli rakan sebaya.

Menurutnya, al-Quran bukan sekadar panduan hidup, tetapi syifa’ atau penawar bagi penyakit hati termasuk sifat marah, iri hati dan dendam yang sering menjadi punca insiden buli.
“Apabila hati ditarbiah dengan al-Quran, pelajar akan lebih berakhlak, lembut jiwa dan sedar batasan tingkah laku.
“Inilah kekuatan sebenar yang perlu diangkat bersama penguatkuasaan disiplin,” katanya.
Ketika ini, dua kes buli tragis membabitkan Zara Qairina Mahathir, 13, dan Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, 16, menggemparkan negara sehingga menimbulkan kesedaran pentingnya pendekatan rohani seperti Malaysia #QuranHour dalam mencegah insiden serupa berulang.

Kedua-dua kes ini mencerminkan kecuaian sistemik dalam menangani isu buli sekolah.
Terdahulu, Malaysia #QuranHour 2025 akan berlangsung serentak di seluruh negara pada 30 Ogos ini dengan tema 'Merdeka Dengan Rasa' yang membawa pengisian al-Quran bagi mendidik individu tidak terjebak dalam kekejaman nafsu amarah serta dendam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

