Al-Quran kompas hidup semua generasi

MELAKA - Sekumpulan wanita termasuk warga emas dari Rumah Ngaji Sakinah Krubong, di sini yang bakal menyertai sambutan Malaysia #QuranHour peringkat negeri supaya dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk menjadikan al-Quran sebagai kompas hidup.
Penggerak Rumah Ngaji Sakinah Krubong, Azizah Dollah, 70, berkata, kesempatan menyertai program yang akan berlangsung di Masjid Cina Krubong pada 28 Ogos ini sebagai bukti keazaman yang tinggi serta komitmen menegakkan syiar Islam.
Menurutnya, dengan penyertaan terutama warga emas ia akan dapat memberi makna besar kepada golongan tersebut.
Malah pengorbanan yang diberikan dapat membebaskan jiwa daripada perasaan dendam dan terpinggir, serta kembali dekat dengan panduan ILLAHI.
Beliau yakin ini juga akan menjadi medium bersama-sama masyarakat pelbagai peringkat umur membaca ayat suci al-Quran secara tidak langsung bukan sekadar pengisian rohani, malah juga lambang perpaduan dan kebebasan jiwa sempena hari kemerdekaan negara yang akan disambut tidak lama lagi.
“Bagi kami warga emas, inilah cara terbaik meraikan kemerdekaan dengan membebaskan hati daripada sifat negatif.
“Kalau semua rakyat berpegang pada ajaran al-Quran, negara akan lebih aman dan masyarakat saling menghormati tanpa gejala seperti buli atau perpecahan,” katanya yang kepada Sinar Harian.
Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Rumah Ngaji Ummah Ikhlas Melaka berkata, dengan tema ‘Merdeka Dengan Rasa’, pengisian program itu juga akan menjadi jambatan penyatuan antara generasi tua dan muda.
Ujarnya, mesej yang dibawa jelas bahawa merdeka bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal, tetapi juga merdeka daripada sifat tercela yang merosakkan masyarakat.
Dalam pada itu, Azizah berkata, pihaknya menyasarkan lebih 500 orang peserta termasuk agensi kerajaan, pelajar sekolah dan juga komuniti masyarakat setempat.
“Tak mustahil bilangan peserta akan meningkat seperti mana #QuranHour yang berlangsung pada hari Arafah yang diadakan pada Jun lalu,” katanya lagi.
Sementara itu, Malaysia #QuranHour yang diadakan di seluruh negara pada 30 Ogos ini dengan membawa pengisian al-Quran supaya dapat mendidik individu tidak terjebak dalam kekejaman nafsu amarah serta dendam.
Lokasi utama penganjurannya di Masjid Negara Kuala Lumpur yang diadakan bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

