Inkues kes Zara Qairina: Sebahagian tulisan tangan dipercayai bukan ditulis arwah

Saksi dari Jabatan Kimia Malaysia sahkan sebahagian tulisan tangan dalam buku kes Zara Qairina bukan milik arwah, hasil analisis forensik di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu. - Gambar hiasan
Saksi dari Jabatan Kimia Malaysia sahkan sebahagian tulisan tangan dalam buku kes Zara Qairina bukan milik arwah, hasil analisis forensik di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU – Pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia Malaysia, Nurul Atiqah Mohd Noh dalam keterangannya di Mahkamah Koroner di sini menyatakan hasil pemeriksaan pada sebuah buku mendapati sebahagian tulisan tangan yang dikemukakan dipercayai bukan ditulis oleh Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Saksi kedua prosiding itu berkata, pemeriksaan dibuat terhadap barang kes yang ditanda melibatkan helaian kertas serta buku tulisan tangan sebelum perbandingan dijalankan.

“Setelah perbandingan dilakukan, saya mendapati tulisan tangan yang dipertikaikan pada helaian ‘Y1’ hingga ‘Y7’ dan ‘Y9’ hingga ‘Y15’ menunjukkan persamaan yang signifikan dengan contoh tulisan tangan ‘SA’. Oleh itu, saya berpendapat ia ditulis oleh penulis contoh,” katanya.

Beliau menjelaskan, penemuan sama turut diperoleh pada helaian bertanda ‘Y8’, selain dua lagi helaian ‘W1’ dan ‘W2’ yang didapati sepadan dengan tulisan tangan contoh.

Menurut Nurul Atiqah, penilaian lanjut pada buku tulisan tangan bertanda ‘W3’ menunjukkan hasil tulisan Zara Qairina dan individu lain.

“Bagi muka surat 3 hingga 6, 15 hingga 24, 38 hingga 45, 47 hingga 57, 65 hingga 72 dan 90 hingga 103, tulisan tangan dipertikaikan itu juga menunjukkan persamaan signifikan dengan penulis contoh.

“Namun, bagi muka surat 2, 7 hingga 14, 25 hingga 37, 46, 58 hingga 64 dan 73 hingga 89, ia menunjukkan perbezaan signifikan yang mencukupi. Oleh itu, saya berpendapat tulisan tangan pada bahagian tersebut tidak ditulis oleh penulis contoh,” jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, setelah selesai dianalisis, kesemua ekshibit dimasukkan semula ke dalam beg barang kes asal dan dimeterai kembali dengan label keselamatan Jabatan Kimia Malaysia.

Nurul Atiqah, 44, yang berkhidmat di Bahagian Pemeriksaan Dokumen, Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya, setakat ini telah menganalisis kira-kira 670 kes pemeriksaan dokumen dan daripada jumlah itu, kira-kira 120 kes adalah tulisan tangan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!