[VIDEO] 11 lelaki didenda RM3,000 tawar pinjaman tidak wujud
SEREMBAN - Seramai 11 lelaki dijatuhi hukuman denda RM3,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menawarkan pinjaman tidak wujud pada Ogos lalu.
Kesemua tertuduh – Willie Ngam Tee Heng, 41; Lai Wen Bin, 21; Chee Juen Hoe, 36; Vincent Lim Liang Yik, 22; Jerry Teo Chee Ming, 22; Sim Wee Yung, 27; Chin Chye Fui, 34; Tan Wen Wah, 26; Yong Wai Chuan, 20; Chan Zi Cheng, 19; dan Jaydi Requiron Teh, 25 – membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Mahkamah memerintahkan kesemua tertuduh membayar denda tersebut atau berdepan hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayarnya.
Nurul Saqinah turut memerintahkan barang kes diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh bersama-sama telah berpakat melakukan perbuatan menyalahi undang-undang dengan menawarkan perkhidmatan pinjaman wang tidak wujud kepada mangsa.

Mereka dengan curangnya telah mendorong mangsa untuk menyerahkan wang kepada pihak tertentu, yang bertentangan dengan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu dilakukan antara jam 2.24 petang hingga 2.30 petang di sebuah kafe dan sebuah premis di Pusat Dagangan Seremban 2, pada 26 Ogos lalu.
Kes tersebut didakwa mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Peguam yang mewakili semua tertuduh, Erickka Farrise memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan anak guamnya merupakan pesalah kali pertama dan bekerja sebagai eksekutif dengan pendapatan bawah RM2,000 sebulan.
Menurutnya, kesemua tertuduh telah menyesali perbuatan mereka dan mengambil pengajaran daripada kesalahan yang dilakukan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, P Rubini, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum sebagai pengajaran kepada para tertuduh dan orang awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

