Proses keadilan kes buli kanak-kanak melalui tribunal perlu kajian lanjut - Pakar

Cadangan tribunal anti-buli perlu diteliti agar tidak bercanggah dengan kuasa mahkamah, hak asasi kanak-kanak, dan peruntukan Perlembagaan. Foto hiasan (Gambar kecil: Dr Khairil Azmin)
Cadangan tribunal anti-buli perlu diteliti agar tidak bercanggah dengan kuasa mahkamah, hak asasi kanak-kanak, dan peruntukan Perlembagaan. Foto hiasan (Gambar kecil: Dr Khairil Azmin)
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan untuk mendapatkan keadilan dalam kes buli melibatkan kanak-kanak atau pelajar sekolah melalui tuntutan tribunal berbanding bawah bidang kuasa mahkamah memerlukan proses yang lebih telus, adil dan saksama tanpa menafikan keadilan untuk mangsa buli serta hak asasi suspek atau tertuduh.

Pakar Undang-undang dan Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, justeru itu kajian dan penelitian perlu dilaksanakan dengan lebih mendalam sama ada penubuhan tribunal benar-benar berkesan dalam mengurangkan serta mengatasi kes buli membabitkan golongan berkenaan.

Menurutnya, pertindihan kuasa antara kementerian juga dikhuatiri mengundang isu pentadbiran dan menimbulkan konflik birokrasi yang hanya akan merumitkan keadaan.

“Mahkamah lebih bebas kerana berada di bawah badan kehakiman, tetapi ahli tribunal seperti dalam Akta Antigangguan Seksual 2022 ini dilantik oleh menteri. Kes buli yang sedang hangat dibincangkan sekarang melibatkan jenayah. Jika jenayah, mahu atau tidak, perlu dibawa ke mahkamah sekiranya dilaporkan kepada polis dan pendakwaan telah bermula.

“Adakah tribunal akan memudahkan penyelesaian kes? Adakah dengan penubuhan tribunal akan mengurangkan kes buli dan mempercepatkan keadilan? Jika matlamat ini dicapai, sememangnya bagus. Namun, perlu diambil kira juga kuasa kehakiman yang diberikan kepada mahkamah di bawah Perkara 121(1) serta hak asasi dalam Perkara 7(2) Perlembagaan Persekutuan yang tidak membenarkan perbicaraan berulang.

“Menambahkan lagi persoalan, bawah bidang kuasa pihak manakah tribunal ini akan diletakkan? Berkemungkinan berlaku pertindihan bidang kuasa antara beberapa kementerian jika melibatkan kanak-kanak di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, manakala insiden pula berlaku di institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan. Perkara ini perlu dikaji dengan lebih mendalam,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengulas cadangan penubuhan tribunal berhubung kes buli membabitkan pelajar dan kanak-kanak susulan kerajaan meneliti keperluan menggubal Akta Anti-Buli.

Mengulas lanjut, Khairil turut merujuk kepada Akta Antigangguan Seksual 2022 yang memperuntukkan tribunal bagi aduan sivil, tetapi tetap mengecualikan kesalahan jenayah daripada bidang kuasanya.

Bagaimanapun, tegas beliau, penubuhan tribunal bagi kes buli pelajar dan kanak-kanak tidak boleh disamakan secara mutlak dengan kes gangguan seksual.

Artikel Berkaitan:

“Ia tidak semudah ‘salin dan tampal’. Undang-undang itu perlu memperincikan hak mangsa, memberi perlindungan kepada pelapor serta memastikan pihak berautoriti melaksanakan penguatkuasaan dengan jelas.

“Kalau kes buli berlaku di sekolah, ia di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan. Dari sudut kebajikan dan hak kanak-kanak pula di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Jika ia kes jenayah, mahkamah tetap ada bidang kuasa,” katanya.

Menurut beliau, tribunal yang dicadangkan boleh dikhususkan bidang kuasanya seperti mendengar kes yang tidak sampai ke tahap jenayah dan hanya melibatkan isu disiplin.

“Malah, perlu juga dipertimbangkan proses mediasi dan arbitrasi bagi mencapai persetujuan antara pihak yang terlibat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan proses mendapatkan keadilan melalui mahkamah masih boleh diperbaiki dengan memastikan pendakwaan dibuat secara telus dan perbicaraan dilaksanakan segera kerana keadilan yang ditangguhkan juga merupakan satu bentuk ketidakadilan.

“Keadilan boleh didapati di mahkamah, itu sudah mencukupi. Yang penting adalah hak dan tanggungjawab pemerintah untuk membuat pemantauan berkesan bagi menangani isu buli dengan lebih tuntas,” tegas beliau.

Tambah beliau, secara amnya kebanyakan pihak bersetuju dengan keperluan undang-undang khusus yang mengambil kira kedudukan pembuli dan mangsa membabitkan kanak-kanak.

“Sebab layanan kepada kanak-kanak dan orang dewasa berbeza walaupun kita ada Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan hak kesamarataan di mana semua orang dilayan secara sama rata dan undang-undang dikuatkuasakan secara sama rata.

“Tetapi ada perbezaan layanan apabila ia melibatkan kanak-kanak, termasuklah jika jenayah dilakukan oleh kanak-kanak. Hukuman pun berbeza,” jelas beliau.

Pada Ahad, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Draf Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Anti-Buli dijangka siap untuk dibentangkan kepada Kabinet dalam tempoh sekurang-kurangnya enam bulan akan datang bagi memastikan isu buli di negara ini dapat ditangani secara menyeluruh.

Katanya, Jemaah Menteri telah memberi mandat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said untuk menggubal draf RUU tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!