RUU Anti Buli siap dalam enam bulan - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (dua dari kiri) menyempurnakan gimik penyerahan replika kunci rumah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) kepada penerima selepas merasmikan Program MODE Kemas dan Bakti Madani UiTM di Dewan Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk pada Ahad.
Ahmad Zahid (dua dari kiri) menyempurnakan gimik penyerahan replika kunci rumah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) kepada penerima selepas merasmikan Program MODE Kemas dan Bakti Madani UiTM di Dewan Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk pada Ahad.
A
A
A

BAGAN DATUK – Draf Rang Undang-Undang (RUU) Anti Buli dijangka siap untuk dibentangkan kepada Kabinet dalam tempoh sekurang-kurangnya enam bulan akan datang bagi memastikan isu buli di negara ini dapat ditangani secara menyeluruh.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Jemaah Menteri telah memberi mandat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said untuk menggubal draf RUU tersebut.

Menurutnya, Azalina turut diminta mengadakan sesi libat urus di seluruh negara bersama semua pihak berkepentingan termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), universiti awam, universiti swasta serta pasukan beruniform.

“Sekurang-kurangnya enam bulan diberikan kepada beliau untuk membentangkan kertas cadangan dan draf RUU ini kepada Jemaah Menteri. Saya harap semua pemegang taruh termasuk PIBG, pentadbiran universiti serta pengamal undang-undang dapat memberikan input.

“Kita tidak boleh bertoleransi langsung terhadap sebarang bentuk buli atau ragging yang dianggap tradisi sama ada di sekolah, maktab tentera, MRSM (Maktab Rendah Sains Mara), sekolah elit atau universiti. Perkara ini mesti dihentikan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Motivasi Desa (MODE) Kemas dan Bakti Madani UiTM di Dewan Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Ahmad Zahid berkata, siri jerayawara bagi bertemu dengan pemegang taruh bagi mendapatkan pandangan mengenai RUU tersebut dimulakan minggu ini.

Jelasnya, kewujudan undang-undang khusus itu kelak diharap dapat menetapkan garis panduan jelas serta menubuhkan tribunal khas bagi menangani isu berkaitan buli termasuk yang melibatkan pasukan beruniform.

Artikel Berkaitan:

“Kita tidak mahu ada pihak tertentu tercemar imejnya kerana peristiwa buli.

"Dengan adanya undang-undang ini semua pihak akan dilindungi dan tindakan boleh diambil secara adil,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!