KPM cadang pasang CCTV di 200 buah asrama sekolah cegah buli

KOTA BHARU - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menyegerakan pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di asrama sekolah terpilih di seluruh negara menggunakan peruntukan berjumlah RM3 juta dalam usaha memperketat keselamatan pelajar sekali gus menghindar perbuatan buli.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, sebagai permulaan sebanyak 200 buah sekolah terpilih akan dilengkapkan dengan kemudahan tersebut termasuk Sabah dan Sarawak.
“KPM sentiasa memberi perhatian terhadap keselamatan pelajar di asrama. Selepas segala aspek itu dibincangkan, baru kita tetapkan lokasi yang sesuai untuk memasang CCTV di asrama sekolah,” katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.
Sebelum itu beliau merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia Kali Ke-63 di Grand River View, di sini.
Menurut beliau, bagaimanapun Bahagian Pengurusan Sekolah Harian akan mendapatkan nasihat dan pandangan daripada pakar dalam hal ehwal keselamatan sebelum pemasangan CCTV di asrama sekolah.
Ujarnya, nasihat dan pandangan pakar itu penting bagi mengelakkan pelanggaran berkaitan hak kanak-kanak bawah umur di sekolah.
Mohd Azam memberitahu, KPM tidak mahu timbul isu lain selepas ini apabila ada yang mengatakan CCTV dipasang di dalam tandas.
"KPM tidak boleh sewenang-wenangnya memasang CCTV di asrama kerana akan timbul isu lain selepas ini.
“Kita akan dapatkan nasihat pakar mengenai hak kanak-kanak bawah umur. KPM tidak mahu privasi mereka diganggu kerana ada akta yang perlu dipatuhi," katanya.
Tambah Mohd Azam, pihaknya turut melaksanakan audit keselamatan dengan mengarahkan jemaah nazir turun ke sekolah secara mengejut sama ada waktu malam atau siang untuk melihat apakah elemen yang menganggu keselamatan pelajar.
Ujarnya, selain nazir, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendikan Daerah (PPD) turut diarah untuk membuat lawatan mengejut ke asrama.
"Setiap minggu laporan audit keselamatan ini akan salurkan kepada menteri dan pihak kementerian untuk tindakan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


