Peranan guru sebagai warden terhad, MARA lantik pesara tentera - Asyraf Wajdi

SHAH ALAM - Peranan guru sebagai warden untuk memantau dan memeriksa asrama setiap malam amat terhad memandangkan mereka mempunyai bebanan tanggungjawab hakiki mengajar dan tugas-tugas lain.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, apabila kurang pemantauan secara berterusan dan berkesan oleh warden yang bertugas secara sambilan atau bukan sepenuh masa, kebarangkalian untuk perlakuan buli dan aktiviti-aktiviti ‘pelik’ lain berlaku itu tinggi.
Menurutnya, guru MRSM yang terbeban dengan tanggungjawab hakiki tidak akan mampu laksana tugas warden secara berkesan.
"Lagipun aktiviti pelik termasuk buli di asrama hanya berlaku selepas waktu akademik termasuk tengah malam.
"Itu sebab MARA ambil inisiatif untuk laksanakan program rintis dengan mengambil bekas-bekas pegawai tentera yang bersara (kebanyakannya bersara pada umur masih muda 40-an) sebagai warden sepenuh masa yang bertugas dari jam 10 malam hingga 7 pagi.
"Walaupun guru-guru mendapat elaun tambahan RM300 untuk bertugas sebagai warden, mereka pastinya tidak akan mampu memantau aktiviti-aktiviti pelajar setiap hari terutamanya selepas waktu akademik sebelah malam," katanya menerusi Facebook pada Khamis.
Tambah Asyraf Wajdi, MARA telah meminta Institut Kajian Sosial Universiti Putra Malaysia untuk melakukan kajian secara tuntas terhadap inisiatif tersebut.
"Insya-ALLAH segala dapatan sama ada positif atau negatif daripada inisiatif MARA ini akan dikongsikan kepada umum.
"Moga-moga usaha untuk kita mensifarkan kes-kes buli akan berjaya dan mampu mewujudkan suasana persekitaran asrama dan maktab yang selamat serta sejahtera buat semua pelajar dapat direaslisasikan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


