Ibu, bapa dan PIBG setuju hukuman rotan kembali dilaksanakan

SHAH ALAM - Hukuman rotan wajar dilaksanakan semula di sekolah, namun dengan syarat ia dilakukan secara terkawal dan tidak sampai menjejaskan kesihatan murid.
Bapa kepada dua anak yang bersekolah di sekolah rendah, Noor Azli Khamis berkata, dunia pendidikan kini berdepan cabaran besar dalam menangani masalah disiplin murid.
“Daripada isu ponteng sekolah, kurang ajar kepada guru hinggalah kepada kes buli, semuanya semakin meruncing. Dalam konteks ini, rotan boleh menjadi simbol peringatan bahawa setiap kesalahan ada akibatnya.
“Bukan semua murid boleh dibentuk hanya dengan kata-kata nasihat. Ada sesetengahnya memerlukan pendekatan lebih tegas untuk sedar bahawa tindakan mereka ada batas,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid mencadangkan supaya hukuman rotan kepada pelajar yang tidak berdisiplin diperkenalkan semula di sekolah.
“Masa kita sekolah dulu, rotan memang ada di sekolah. Tapi hari ini nampaknya pihak kementerian lebih mengutamakan pandangan ibu bapa,” katanya di Dewan Rakyat.
Tambah Noor Azli, rotan bukan bertujuan mencederakan, sebaliknya memberi pengajaran agar murid lebih berdisiplin, menghormati guru dan menumpukan perhatian kepada pelajaran.
Beliau juga menekankan bahawa pelaksanaan hukuman rotan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.
Katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menetapkan garis panduan yang jelas supaya guru tidak menyalahgunakan kuasa, manakala murid tidak menjadi mangsa penderaan.
“Antaranya seperti hanya guru tertentu sahaja dibenarkan merotan, contohnya guru disiplin atau pengetua dan guru besar. Hukuman pula perlu dilaksanakan pada bahagian tertentu seperti tapak tangan atau punggung, bukan pada wajah atau anggota sensitif.
“Selain itu, jumlah rotan juga harus dihadkan sekadar memberi pengajaran, bukannya untuk menyakitkan. Setiap hukuman yang dijalankan juga wajar direkodkan dalam catatan disiplin bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti.
“Kalau ada kawalan yang jelas, saya percaya hukuman rotan boleh jadi kaedah yang baik. Tetapi kalau tiada peraturan, memang akan timbul masalah kerana tidak semua guru mampu mengawal emosi ketika berdepan dengan murid nakal,” katanya.
Sementara itu, pekerja swasta, Siti Fatimah Lawang turut bersetuju penuh sekiranya hukuman rotan dilaksanakan semula di sekolah.
Baginya, rotan bukanlah semata-mata hukuman fizikal, tetapi satu bentuk pendidikan yang boleh membantu guru mengawal bilik darjah, khususnya ketika berdepan dengan murid yang degil dan sukar dibentuk.
“Rotan bukan hanya mendidik murid secara individu, malah memberi mesej jelas kepada murid lain bahawa pihak sekolah serius menegakkan disiplin. Anak-anak perlu faham setiap kesalahan ada kesannya, dan rotan boleh menjadi simbol peringatan itu.
“Pengalaman membesarkan tiga orang anak saya, tidak semua kanak-kanak boleh dibentuk dengan cara lembut semata-mata. Ada sesetengahnya cepat insaf hanya dengan teguran atau nasihat, tetapi ada juga yang berulang kali melanggar peraturan sehingga memerlukan pendekatan lebih tegas,” katanya.
Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 20, Haidzir Sham Masngat pula turut bersetuju agar hukuman rotan dilaksanakan semula asalkan ia mengikut prinsip yang tepat.
Menurutnya, hukuman rotan boleh menjadi wajar dan relevan jika pelaksanaannya berpandukan beberapa faktor utama.
“Pertama, hukuman ini mestilah mendapat kebenaran serta pengetahuan ibu bapa atau penjaga. Sebelum ia dijalankan, pihak sekolah perlu memaklumkan kesalahan disiplin yang dilakukan oleh murid agar ibu bapa jelas tentang sebab hukuman dikenakan.
“Kedua, rotan hanya boleh dilaksanakan jika benar-benar mampu memberi kesedaran, pengajaran dan keinsafan kepada pelajar. Sekiranya hukuman itu tidak meninggalkan kesan mendidik, ia akan hilang nilai didikan dan menjadi sia-sia,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa murid sekolah rendah, pelajar yang masih kecil fizikalnya atau mereka yang mempunyai masalah kesihatan tidak sesuai untuk dirotan.
Ujarnya, prinsip tersebut penting bagi mengelakkan sebarang kesan buruk kepada keselamatan dan perkembangan murid.
Tambahnya, tujuan hukuman rotan adalah semata-mata untuk mendidik, bukannya untuk memalukan pelajar atau dijadikan alasan mudah bagi pihak sekolah mengambil tindakan disiplin.
“Rotan mesti dilihat sebagai langkah membentuk sahsiah, bukan sekadar hukuman berbentuk fizikal. Rotan hanya wajar dijalankan sebagai pilihan terakhir. Sebelum sampai ke tahap itu, murid perlu melalui sesi kaunseling, dinasihati dan dibimbing dari segi pembentukan sahsiah diri.
“Hanya jika kesalahan tersebut berulang atau tetap dilakukan secara berterusan, barulah rotan boleh dikenakan. Hukuman tersebut tidak boleh dilakukan secara sambil lewa. Jika ia hanya sekadar ringan sehingga murid tidak serik, hukuman itu tidak akan memberi kesan.
“Dalam keadaan tertentu, rotan yang lebih tegas mungkin diperlukan agar murid benar-benar insaf dan tidak berani lagi mengulangi kesalahan,” katanya.
Sementara itu, YDP PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam, Norliza Sahib menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan mengembalikan hukuman rotan di sekolah.
Katanya, rotan bukan sahaja berfungsi sebagai bentuk hukuman, tetapi turut menjadi satu bentuk pengajaran dan kesedaran kepada murid.
“Saya setuju untuk mengembalikan hukuman rotan. Selain sebagai hukuman, ia juga sebagai pengajaran, kesedaran dan membentuk insan yang berdisiplin supaya tidak mengulangi kesilapan.
“Ia juga satu proses mendidik, terutama murid yang tidak berdisiplin. Namun, ia mestilah dilaksanakan mengikut prosedur yang betul dan bersesuaian,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

