Tiada pertuduhan baharu sehingga inkues Zara Qairina selesai - AG

KOTA BHARU – Jabatan Peguam Negara tidak bercadang melakukan pertuduhan baharu terhadap mana-mana individu berhubung kes kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir sehingga prosiding inkues selesai.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, sebarang pendakwaan hanya akan dipertimbangkan selepas Mahkamah Koroner selesai mendengar semua keterangan saksi dan membuat penemuan rasmi punca kematian remaja berkenaan.

“Buat masa ini, biarlah inkues berjalan dahulu, kita tidak mahu mendahului prosiding mahkamah.
“Segala tindakan lanjut hanya akan diputuskan selepas itu,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Infrastruktur Awam, Program Kampung Angkat Madani, Jabatan Peguam Negara 2025 di Kampung Padang Tembak di sini pada Sabtu.
Pada 20 Ogos lepas, lima pelajar perempuan berusia bawah 18 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina Mahathir pada 15 Julai lalu.
Semua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin sementara menunggu perbicaraan.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai lalu sehari selepas ditemukan tidak sedarkan berhampiran longkang di asrama sekolahnya di Papar kira-kira jam 4.00 pagi pada 16 Julai lalu.
Kes itu mencetuskan perhatian seluruh negara selepas keluarganya mendakwa Zara Qairina menjadi mangsa buli sehingga membawa kepada kematian.
Susulan itu, rakan-rakan sekolahnya telah dipanggil bagi memberi keterangan kepada polis selain inkues kematian mangsa yang sedang berjalan di Mahkamah Koroner bermula pada 3 September lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

