16 remaja ditahan, basikal lajak disita

Polis Johor Bahru menahan 16 remaja berbasikal lajak dalam operasi khas. Foto IPD Johor Bahru Selatan.
Polis Johor Bahru menahan 16 remaja berbasikal lajak dalam operasi khas. Foto IPD Johor Bahru Selatan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 16 remaja ditahan dalam satu operasi khas membanteras aktiviti basikal lajak yang dijalankan di sekitar pusat bandar raya ini pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintenden Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, kesemua remaja yang berusia antara 11 hingga 15 tahun itu ditahan bersama 16 buah basikal dalam operasi berkenaan.

“Operasi khas yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan bermula jam 11 pagi turut menyaksikan kesemua 16 basikal berkenaan disita.

“Sebanyak 16 keping saman POL. 257 turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti menunggang basikal tanpa brek, tanpa loceng dan tanpa lampu merah di bahagian belakang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

No Image Caption

Kesemua basikal disita di bawah Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

Tambah Azrul Hisham, ibu bapa atau penjaga sah telah diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan untuk diambil keterangan dan diberi nasihat bahawa tindakan tegas akan diambil jika kesalahan berulang.

Menurut beliau, Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun terhadap penjaga yang cuai dalam mengawasi anak jagaan.

Artikel Berkaitan:

“Setelah selesai rakaman percakapan diambil, kesemua remaja terbabit dibebaskan dan diserahkan semula kepada ibu bapa serta ahli keluarga masing-masing.

“Polis menasihatkan orang ramai, khususnya ibu bapa yang mempunyai anak bawah umur agar sentiasa memantau aktiviti mereka supaya tidak terlibat dalam sebarang gejala yang boleh membahayakan diri sendiri mahupun pengguna jalan raya lain,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!