'Rakaman kelibat Harimau Malaya di Royal Belum bawa mesej positif rantaian makanan mangsa-pemangsa'

GERIK - Kelibat seekor harimau belang dengan anggaran usia dua tahun terakam dalam perangkap kamera Tabung Hidupan Liar Sedunia Malaysia (WWF-Malaysia) kira-kira seminggu lalu di salah satu kawasan survei di Royal Belum.
Ahli biologi dan pemerhati hidupan liar WWF-Malaysia, Afif Wafiy berkata, menerusi perangkap kamera yang mampu mengesan haba dan pergerakan, kelihatan seekor harimau belang melalui kawasan survei pada jam 7.49 malam, bertarikh 27 Ogos lepas.

"Pasukan WWF-Malaysia baharu sahaja tukar dan selenggara perangkap kamera pada 26 Ogos namun pada keesokannya harimau belang melalui kawasan ini.
"Ini bermakna selepas kamera dipasang, haiwan pertama lintas ialah Harimau Malaya, jadi belum ada lagi mamalia lain yang lalu.
"Bertuah juga kita dapat lihat 'footage' harimau belang yang menandakan mereka sudah sampai ke lokasi ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perkongsian bersama pengamal media yang mengikuti ekspedisi tiga hari dua malam ke Taman Negeri Royal Belum anjuran WWF-Malaysia dan Maybank.
Seramai tujuh wakil media mengikut ekspedisi berkenaan yang mana Sinar Harian menghantar dua wakil, Astro Awani (tiga) manakala The Star dan Sin Chew Daily pula masing-masing seorang wakil.
Ekspedisi itu bertujuan memberikan gambaran tentang usaha WWF-Malaysia membangunkan pelan konservasi Harimau Malaya, pembanterasan aktiviti pemburuan haram, interaksi bersama penduduk kampung dan renjer Orang Asli.
Di samping itu ia juga menekankan peri pentingnya penjagaan kelestarian hidupan liar di lanskap Belum-Temengor menerusi kerjasama Maybank.
Afif Wafiy berpandangan, penampakan harimau di kawasan berhampiran 'salt lick block' iaitu sejenis mineral untuk tumbesaran hidupan liar yang diikat pada pokok dan berdekatan Padang Ragut Gadong memberi mesej positif tentang rantaian makanan mangsa-pemangsa.

Jelasnya, ia menandakan harimau tahu bahawa mangsa seperti rusa sambar dan kijang akan melalui padang ragut tersebut untuk mencari sumber makanan, kemudiannya mereka pula menjadi makanan kepada harimau.
"Kami cuba perbanyakkan populasi haiwan mangsa dahulu supaya pemangsa seperti harimau cukup makan.
"Daripada situlah kami perkenalkan inisiatif Padang Ragut Gadong, satu kawasan lapang untuk rusa sambar, kijang dan lain-lain makan rumput," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

