Petugas khas pantau pemburu haram

SHAH ALAM - Kerajaan disaran menubuhkan pasukan petugas khas bagi memantau kawasan hutan yang sering menjadi sasaran pemburu haram dalam usaha melindungi habitat hidupan liar terutama spesies terancam seperti Harimau Malaya.
Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob berkata, pasukan khas itu wajar dibentuk dalam kalangan penduduk tempatan yang arif mengenai selok-belok hutan dan boleh menjalankan rondaan secara berkala.
Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja membantu mengurangkan kebergantungan kepada agensi penguat kuasa sedia ada, malah menyelesaikan isu kekurangan anggota serta kekangan logistik di lapangan.
“Peranan mereka boleh diselaraskan seperti anggota Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) yang ditugaskan mengawal kawasan kampung.
“Bezanya pasukan ini diberi fokus untuk menjaga hutan agar tidak terus diceroboh pemburu haram dan penebangan pokok tanpa kebenaran,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini Sinar Harian menerusi laporan muka depan pada Rabu mendedahkan populasi Harimau Malaya atau Harimau Belang kini dianggarkan kurang daripada 150 ekor dan mungkin akan pupus dalam tempoh satu atau dua dekad lagi jika tiada usaha konservasi luar biasa dijalankan.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim turut mengakui wujud kekangan dari segi sumber manusia dan peruntukan kewangan dalam usaha memulihara serta melestarikan habitat Harimau Malaya atau nama saintifiknya, panthera tigris jacksoni.
Dalam pada itu Fathul Huzir berpandangan, pelantikan komuniti tempatan sebagai pengawal hutan secara tidak langsung memberi peluang pekerjaan dan membina kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar.
Malah menurutnya, kebimbangan mengenai isu hidupan liar di Gerik sudah beberapa kali disuarakan di Parlimen susulan banyak aduan diterima komuniti setempat mengenainya.
“Kita tidak boleh biarkan khazanah seperti harimau dan gajah terus lenyap. Mereka bukan sahaja aset negara, tetapi lambang warisan untuk generasi akan datang,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
