Barang di banglo tiga tingkat hilang: Polis siasat aspek pematuhan SOP ketika serbuan

KAJANG - Polis sedang menyiasat aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan kes pegawai dan anggotanya yang ditahan pada Selasa lalu berhubung kehilangan barangan di sebuah banglo tiga tingkat dijadikan inap desa di Kajang baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan itu dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
"Pegawai dan beberapa anggota polis yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan.
"JIPS IPK Selangor telah diarahkan untuk siasat dari aspek pematuhan SOP sama ada ia dilaksanakan atau sebaliknya ketika serbuan dijalankan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Katanya, siasatan berhubung kes berkenaan masih diteruskan setakat ini.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang pegawai serta beberapa anggota polis ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan barangan di sebuah banglo tiga tingkat yang dijadikan inap desa di Kajang baru-baru ini.
Shazeli berkata, laporan polis dibuat oleh seorang penghuni selepas mendapati keadaan biliknya berselerak dan barangan peribadi hilang.
Beliau berkata, semakan mendapati sebelum itu terdapat serbuan dijalankan pada 28 Ogos kira-kira jam 2 pagi selepas polis menerima maklumat berhubung bunyi bising di premis berkenaan.
Ujarnya, banglo yang dijadikan inap desa dan mempunyai beberapa bilik itu dipercayai didiami pelbagai individu, maklumat orang awam juga menyatakan terdapat bunyi bising dari lokasi terbabit sebelum pasukan serbuan berkenaan bertindak.
Jelasnya, mangsa hanya menyedari barangan bernilai ratusan ribu ringgit hilang selepas pulang ke inap desa terbabit sebelum membuat laporan berkaitan kehilangan barang miliknya itu pada 29 Ogos lalu.
Tambahnya, susulan itu pegawai dan beberapa anggota yang terlibat dalam serbuan berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

