Polis sedang lengkapkan siasatan insiden kekecohan PAT Bersatu

Laporan Sinar Harian berhubung PAT Bersatu kecoh, berlaku insiden pergelutan (Gambar kecil: Mohd Iqbal)
Laporan Sinar Harian berhubung PAT Bersatu kecoh, berlaku insiden pergelutan (Gambar kecil: Mohd Iqbal)
A
A
A

SHAH ALAM – Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung insiden kekecohan yang berlaku ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 2025 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan lanjut berhubung kejadian sedang dijalankan.

“Siasatan berhubung kes ini sedang berlangsung dan dilengkapkan.

“Kertas siasatan akan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya segera dan perkembangan susulan akan dimaklumkan sebaik arahan selanjutnya diterima,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang juga ketua keselamatan Bersatu berkaitan insiden terbabit pada jam 12.18 tengah malam.

Mohd Iqbal dilaporkan berkata, pengadu sedang bertugas ketika ucapan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum melihat dua lelaki yang juga merupakan ahli Bersatu bangun dan menjerit mengganggu ucapan tersebut.

Jelasnya, pengadu kemudian pergi ke arah salah seorang lelaki itu bagi menenangkannya, namun ditarik dari belakang sehingga terjatuh dan berlaku kekecohan di dalam dewan.

Mohd Iqbal berkata, insiden itu berjaya dikawal dengan baik oleh beberapa ahli Bersatu lain dengan membawa keluar kedua-dua lelaki berkenaan dari dewan, dan perhimpunan berjalan seperti biasa.

Ujar beliau, pihak polis telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan iaitu gaduh gempar serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil iaitu kelakuan aib.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!