Pekan emas bersejarah California musnah dijilat api

SAN FRANCISCO – Sebuah pekan bersejarah era Gold Rush di California musnah terbakar selepas ribut kilat mencetuskan hampir kebakaran hutan pada Selasa.
Pekan Chinese Camp, yang terkenal sejak abad ke-19, merupakan kawasan paling teruk terjejas apabila api marak memusnahkan bangunan lama dan meninggalkan hanya rangka. Beberapa struktur lain turut menjadi abu.
Menurut pihak berkuasa, lebih 12,000 ekar (5,000 hektar) kawasan sudah hangus dilanda 22 kebakaran berasingan, kira-kira 160 kilometer di timur San Francisco.

Siri kebakaran yang dinamakan Kompleks September Lightning TCU itu tercetus selepas ribut membawa panahan kilat menyambar kawasan tumbuh-tumbuhan kering.
“Beberapa struktur telah rosak atau musnah, dan pasukan pemeriksa kerosakan telah digerakkan,” kata Jabatan Perlindungan Kebakaran California (Cal Fire) dalam satu kenyataan.
Ratusan anggota bomba dikerahkan, termasuk ke kawasan terpencil yang hanya boleh diakses dengan berjalan kaki, ketika keadaan cuaca berangin terus menyukarkan operasi.
Pihak berkuasa memberi amaran bahawa beberapa komuniti, termasuk tanah warisan suku kaum asli, masih berisiko, dengan perintah serta amaran pemindahan masih berkuat kuasa.

Chinese Camp, yang pernah dihuni puluhan ribu pencari emas termasuk dari China sejak tahun 1849, kini dianggap sebagai “pekan hantu” tetapi masih mempunyai beberapa penduduk kekal. Pekan ini menempatkan beberapa bangunan bersejarah termasuk pejabat pos berusia 170 tahun dan sebuah gereja Katolik tertua di kawasan berkenaan.
Kebakaran hutan sememangnya sebahagian daripada kitaran semula jadi di barat Amerika Syarikat. Namun, perubahan iklim akibat aktiviti manusia, khususnya penggunaan bahan api fosil secara berterusan, menjadikan kebakaran semakin kerap dan lebih dahsyat.-AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

