MAIK himpun 500 penyelidik, budayawan, sejarawan tempatan, Thailand angkat warisan naskhah Melayu

Tengku Mohamad Rizam (kanan) melihat penerbitan buku Ketatanegaraan Negeri Kelantan: Sejarah, Pemerintahan dan Pentadbiran Sehingga 2020 yang memenangi Anugerah Buku Kelantan 2025 (Kategori Bukan Fiksyen Dewasa Terbaik) serta peluncuran buku baharu berjudul Kelantan: Kitab Mukadimah dan Tawarikh Negeri.
Tengku Mohamad Rizam (kanan) melihat penerbitan buku Ketatanegaraan Negeri Kelantan: Sejarah, Pemerintahan dan Pentadbiran Sehingga 2020 yang memenangi Anugerah Buku Kelantan 2025 (Kategori Bukan Fiksyen Dewasa Terbaik) serta peluncuran buku baharu berjudul Kelantan: Kitab Mukadimah dan Tawarikh Negeri.
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menghimpunkan hampir 500 peserta terdiri daripada pensyarah, penyelidik, budayawan dan sejarawan tempatan serta Thailand dalam Seminar Sejarah Hubungan Kelantan–Terengganu: Berasaskan Naskhah Melayu.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, seminar itu bertujuan mengangkat semula warisan naskhah Melayu sebagai khazanah tamadun bangsa selain meneliti hubungan sejarah antara dua negeri bersaudara, Kelantan dan Terengganu.

“Warisan naskhah Melayu bukan sekadar lembaran lama yang tersimpan di rak perpustakaan, tetapi ia adalah cerminan tamadun bangsa yang wajib dipelihara serta diwarisi generasi akan datang,” katanya semasa merasmikan

Seminar Sejarah Hubungan Kelantan–Terengganu: Berasaskan Naskhah Melayu di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji di sini pada Khamis.

Menurut beliau, sepanjang seminar pembentang kertas kerja menyoroti sumbangan ulama silam seperti Tok Kenali dari Kelantan dan Tok Pulau Manis dari Terengganu yang menghasilkan karya berharga dalam bidang fiqh, hadis, tasawuf, syair dan hikayat.

Ujarnya, perbincangan turut menekankan pertukaran ilmu antara kedua-dua negeri yang membentuk ekosistem keilmuan serantau di Pantai Timur.

Tambah beliau, pada majlis itu MAIK turut mengumumkan dua penerbitan penting iaitu buku Ketatanegaraan Negeri Kelantan: Sejarah, Pemerintahan dan Pentadbiran Sehingga 2020 yang memenangi Anugerah Buku Kelantan 2025 (Kategori Bukan Fiksyen Dewasa Terbaik) serta peluncuran buku baharu berjudul Kelantan: Kitab Mukadimah dan Tawarikh Negeri.

"MAIK berharap dapatan, resolusi serta penerbitan daripada seminar ini dapat dijadikan rujukan berharga oleh penyelidik, institusi pengajian tinggi dan masyarakat dalam usaha memperkukuh jati diri bangsa serta menyemarakkan kecintaan terhadap sejarah dan warisan Islam-Melayu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!