Kerjasama dengan China lonjak keupayaan automotif negara - PM

TANJUNG MALIM - Kerjasama erat antara Malaysia dan China telah menjadi faktor penting dalam melonjakkan kemampuan negara dalam industri automotif, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, pengalaman kerjasama Proton Holdings Bhd (Proton) sebelum ini bersama syarikat Jepun tidak sepenuhnya memenuhi aspirasi negara dari segi pemindahan teknologi.
Bagaimanapun katanya, pendekatan berbeza oleh rakan strategik dari China, termasuk Syarikat automatif gergasi dunia Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) telah membuktikan kesediaan mereka memindahkan teknologi serta memberi ruang kepada jurutera tempatan meningkatkan kepakaran.
"Saya berterima kasih kepada kerajaan China kerana dalam beberapa pertemuan dengan Presiden Xi Jinping dan Premier Li Qiang, mereka menunjukkan kesungguhan dalam kerjasama ini.
"Ia bukan sekadar untuk mendapatkan hasil pelaburan, tetapi juga kesediaan mereka memindahkan teknologi dan memberi ruang kepada anak tempatan supaya mampu menghasilkan produk sendiri," katanya ketika berucap dalam majlis Peluncuran Kilang Kenderaan Elektrik (EV) Proton di Proton City di sini pada Khamis.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang; serta Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Tan Sri Syed Faisal Albar.
Majlis itu turut menyaksikan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara AHTV Alliance Sdn Bhd bersama The Railway Assets Corporation (RAC) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Anwar berkata, peluncuran kilang EV Proton di Tanjung Malim ini selari dengan dasar negara, termasuk dasar transisi tenaga, pelan induk perindustrian serta Dasar Automotif Negara.
Katanya, Malaysia sebelum ini berdepan kesukaran menguasai teknologi automotif walaupun sudah berdekad terlibat dalam industri tersebut.
“Bayangkan puluhan tahun sejak 80-an, kita masih tidak mampu mengangkat keupayaan teknologi kita.
"Hanya sekarang, Proton dan rakan-rakan dari Geely berjaya memecahkan rekod itu.
"Kejayaan ini bukan hanya untuk syarikat, tetapi lambang kemampuan anak muda, jurutera dan profesional tempatan yang berjaya melonjakkan industri automotif negara," katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri turut menantikan kejayaan Proton menyiapkan kereta EV baharu menjelang Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober ini bagi dipamerkan kepada kira-kira 20 ketua negara dari Asia, Eropah, Amerika Latin dan Afrika.
Beliau berkata, kehadiran pemimpin antarabangsa termasuk Presiden Brazil, Presiden Afrika Selatan dan Perdana Menteri Itali bakal membuka ruang baharu untuk Proton menembusi pasaran luar negara, khususnya di rantau Amerika Latin dan benua Afrika.
"Hubungan diplomatik dan ekonomi yang baik memberi laluan untuk kita memperluaskan pasaran.
"Saya telah minta Proton menyediakan ruang pameran sempena Sidang Kemuncak ASEAN Oktober ini supaya pemimpin dunia dapat melihat sendiri keupayaan Proton," katanya.
Kilang EV Proton yang berkeluasan lebih 2.2 hektar ini siap dengan kos pembinaan mencecah hampir RM80 juta mengikut fasa dan kapasiti ribuan unit kenderaan setahun.
Kilang itu juga mengeluarkan EV pertama Proton iaitu e.MAS 7 dan dijangka mengeluarkan model kedua iaitu e.MAS 5.
Geely memiliki 49.9 peratus kepentingan di dalam Proton manakala selebihnya milik konglomerat DRB-Hicom Berhad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

