Polis menangis selepas dipecat, mohon maaf kepada keluarga Affan Kurniawan

Komisioner Polis (Kompol) Cosmas Kaju Gae.- Foto: Agensi
Komisioner Polis (Kompol) Cosmas Kaju Gae.- Foto: Agensi
A
A
A

JAKARTA – Suasana pilu menyelubungi perbicaraan tatatertib Polis Republik Indonesia (Polri) apabila Komisioner Polis (Kompol) Cosmas Kaju Gae menitiskan air mata selepas diumumkan diberhentikan tidak dengan hormat (PTDH) daripada pasukan itu pada Rabu.

Keputusan dibuat dalam Sidang Kode Etik Profesi Polri (KEPP) di Gedung Transnational Crime Coordinating Center (TNCC) selepas beliau didapati bersalah dalam insiden kenderaan taktikal Briged Mobil (Brimob) yang ditumpanginya melanggar seorang penunggang motosikal e-hailing, Affan Kurniawan sehingga maut pada 28 Ogos lalu di kawasan Pejompongan, Jakarta Pusat.

Ketua Biro Penerangan Masyarakat (Karo Penmas) Divisi Humas Polri, Brigedier Jeneral Trunoyudo Wisnu Andiko mengesahkan hukuman itu.

“Pemberhentian tidak dengan hormat sebagai anggota Polri,” katanya.

Cosmas yang merupakan satu-satunya pegawai berpangkat pertengahan berada di dalam kenderaan terbabit mengakui hanya mengetahui insiden itu setelah tiba di markas polis.

Menurut Pesuruhjaya Kompolnas, Mohammad Choirul Anam, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh rakan setugas serta menerusi media sosial.

“Beliau menjelaskan hanya mengetahui kenderaannya melanggar mangsa setelah berada di markas,” kata Anam.

Cosmas yang sebak, turut menyampaikan permohonan maaf serta ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Difahamkan, beliau mengulangi permohonan maaf itu sebanyak dua kali semasa prosiding berlangsung.

“Beliau menyatakan kesedihan, mengucapkan takziah kepada keluarga dan tidak menyangka insiden itu berlaku,” jelas Anam.

Artikel Berkaitan:

Anam menambah, Cosmas masih mempertimbangkan sama ada akan membuat rayuan terhadap keputusan PTDH dan akan berbincang terlebih dahulu dengan isteri serta keluarganya.

Dalam prosiding itu, Cosmas hadir dengan berpakaian rasmi harian (PDH) polis serta beret biru Briged Mobil. Beliau duduk bersebelahan pemandu, Bripka Rohmat yang memandu kenderaan tersebut ketika tragedi berlaku.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!