Polis Indonesia sahkan anggota Brimob langgar etika dalam insiden rempuh Affan Kurniawan

JAKARTA - Polis Indonesia mengesahkan tujuh anggota Pasukan Briged Mobil (Brimob) melanggar kod etika susulan insiden kematian penunggang motosikal gig, Affan Kurniawan, 21, yang dirempuh kenderaan taktikal ketika rusuhan di sini pada 28 Ogos lalu.
Ketua Divisi Propam (Bahagian Pengawasan Profesional dan Keselamatan), Inspektor Jeneral Abdul Karim berkata, siasatan dalaman mendapati kesemua anggota terbabit melanggar peraturan etika pasukan dan telah dikenakan tahanan khas selama 20 hari bermula Jumaat.
“Ketujuh-tujuh anggota terbabit telah terbukti melanggar kod etika kepolisan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Jakarta.
Salah seorang pemandu kenderaan perisai Brimob turut mengaku terlanggar Affan dalam keadaan jalan dipenuhi batu dan asap, menyebabkan penglihatannya terhad dan keputusan terus memandu ke hadapan tanpa menyedari kehadiran mangsa.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo memohon maaf secara terbuka kepada keluarga Allahyarham Affan dan masyarakat umum, serta berjanji akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana anggota yang didapati bersalah.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menyatakan rasa terkejut dan kecewa di atas tindakan melampau anggota polis, dan telah mengarahkan siasatan telus serta hukuman setimpal dikenakan.
Insiden tersebut telah mencetuskan gelombang protes besar-besaran di seluruh negara dengan penunjuk perasaan menuntut reformasi pasukan keselamatan dan keadilan untuk Affan Kurniawan. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
