Ubat antisawan dikesan dalam tisu buah pinggang Zara Qairina

Pakar patologi yang menjalankan bedah siasat ke atas Zara Qairina Mahathir memberi keterangan pada hari pertama prosiding inkues yang bermula 2 petang, Rabu. Foto Bernama
Pakar patologi yang menjalankan bedah siasat ke atas Zara Qairina Mahathir memberi keterangan pada hari pertama prosiding inkues yang bermula 2 petang, Rabu. Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU -Tiada sebarang dadah terlarang dikesan dalam tubuh remaja, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas jenazahnya.

Bagaimanapun, Mahkamah Koroner Kota Kinabalu dimaklumkan bahawa ujian makmal mengesan sejenis ubat antisawan dikenali sebagai Phenytoin dalam tisu buah pinggang arwah.

Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu berkata, ubat itu lazim digunakan untuk merawat epilepsi, selain diberikan sebagai langkah pencegahan sawan terhadap pesakit mengalami kecederaan otak traumatik teruk.

“Analisis toksikologi di Jabatan Kimia tidak mengesan sebarang dadah biasa dalam sampel hati si mati. Namun, Phenytoin dikesan dalam tisu buah pinggang.

“Ubat itu digunakan untuk merawat epilepsi, juga biasa diberikan sebagai rawatan pencegahan dalam kes kecederaan otak traumatik teruk bagi mengurangkan risiko sawan awal selepas trauma," katanya.

ubat ini biasa digunakan terhadap pesakit alami kecederaan traumatik otak teruk

Dr Jessie berkata sedemikian ketika memberi keterangan sebagai saksi pertama inkues kematian arwah Zara Qairina di Mahkamah Koroner, di sini, pada petang Rabu.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, ketika proses bedah siasat, beberapa sampel antaranya tulang sternum, tulang rusuk, kuku jari tangan, calitan faraj, dubur dan perineum diambil untuk tujuan profil DNA.

Selain itu, Dr Jessie berkata, sampel hati dan buah pinggang turut diambil sebelum dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis dadah serta toksikologi.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, semua spesimen tersebut diserahkan kepada pegawai penyiasat bersama borang pengendalian spesimen dan barang kes, serta borang rasmi berkaitan bagi pemeriksaan lanjut.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, pemeriksaan turut dilakukan pada bahagian alat kelamin luaran, selaput dara, saluran faraj, perineum dan dubur arwah.

"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan tidak menunjukkan sebarang kesan pembengkakan, lebam, koyakan atau kecederaan, malah keadaan selaput dara didapati masih utuh," menurutnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!