Wanita ditahan didakwa berucap berbaur hasutan di Himpunan Solidariti 'Justice For Zara'

Jasmin
Jasmin
A
A
A

TAWAU - Polis hari ini menahan seorang wanita yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah semasa berucap pada Himpunan Solidariti Justice for Zara di sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, wanita berusia 23 tahun itu ditahan kira-kira 12.30 tengah hari di kawasan Batu 4, Jalan Apas, di sini bagi membantu siasatan.

"Polis sedang merakam percakapannya dan siasatan lanjut diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menimbulkan kegusaran masyarakat melalui ucapan, khususnya di tempat terbuka.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam atau menyentuh sensitiviti pihak tertentu,” katanya.

Semalam media melaporkan polis menerima tiga laporan berhubung perkara itu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!