Perak sedia TVET untuk huffaz

IPOH – Kerajaan Perak mencipta sejarah apabila memperkenalkan Program Diploma Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pengurusan Mutawwif dan Ziarah sebagai alternatif pendidikan untuk anak-anak tahfiz di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif itu bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada mereka sebagai penghafaz al-Quran, malah menambah nilai dengan kemahiran agar lebih berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran kerjaya masa depan.
Menurutnya, kerajaan negeri melalui agenda Koridor TVET Malaysia memberi fokus menjadikan TVET bukan sekadar latihan kemahiran teknikal, tetapi platform bersepadu melahirkan modal insan berkualiti, berdisiplin dan mampu memenuhi keperluan industri.
“Selaras dengan itu, Program Diploma TVET Pengurusan Mutawwif dan Ziarah diwujudkan untuk memartabatkan industri pelancongan Islamik. Ia menyediakan tenaga mahir dengan perkhidmatan berkualiti, pengurusan jemaah umrah dan ziarah yang lebih efisien, menepati syariat serta mesra dan profesional.
“Program ini menjadi permulaan integrasi baharu. Kita mahu anak-anak huffaz bukan sahaja menghafaz kalamullah, tetapi juga diperkasa dengan kemahiran moden, khususnya dalam bidang pelancongan Islamik yang sedang berkembang pesat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Program Empower Tahfiz: Inisiatif Khas Pemerkasaan Anak-Anak Tahfiz Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, Rabu.
Saarani berkata, pelajar terpilih bukan sahaja akan didedahkan dengan fiqh manasik dan sejarah Tanah Suci, tetapi turut diajar kemahiran komunikasi, kepimpinan, pengurusan perjalanan, teknologi serta keusahawanan.
“Dengan itu, mereka benar-benar bersedia menjadi pembimbing ummah yang lengkap menjaga ibadah, mengurus logistik, menenangkan hati jemaah serta membawa imej negara dengan penuh maruah.
“Melalui Empower Tahfiz, peluang baharu terbuka luas. Graduan diploma ini boleh menjadi mutawwif profesional di Mekah dan Madinah, pengurus agensi pelancongan Islamik, konsultan ibadah umrah dan ziarah, tenaga pengajar atau penceramah, malah usahawan yang mencipta produk dan pakej pelancongan sendiri,” jelasnya.
Dalam pada itu, Saarani turut mengumumkan kerajaan negeri melalui Yayasan Perak menyediakan tajaan pendahuluan yuran sebanyak RM2,500 bagi setiap pelajar dengan sasaran awal penyertaan seramai 100 orang.
Katanya, usaha itu membuktikan kesungguhan kerajaan negeri untuk memastikan lebih ramai anak-anak tahfiz mendapat akses pendidikan meluas serta kerjaya berkualiti.
Beliau berkata, dengan pelancaran itu, Perak berpotensi muncul sebagai model nasional dalam integrasi tahfiz dan TVET.
“Kita mahu membuktikan bahawa pendidikan Islam tidak pernah menjadi penghalang untuk maju dalam dunia moden.
“Malah, ia boleh digabungkan dengan kemahiran teknikal bagi melahirkan modal insan holistik, berilmu, berakhlak, berkemahiran dan berdaya saing,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

