Perak sedia 52,000 buku rujukan tambahan untuk pelajar SPM

Saarani (tengah) menyampaikan buku rujukan tambahan kepada wakil pelajar sebagai gimik Majlis Pelancaran Inisiatif Buku Rujukan Tambahan SPM 2025 di Foyer Pejabat Menteri Besar Perak pada Rabu.
Saarani (tengah) menyampaikan buku rujukan tambahan kepada wakil pelajar sebagai gimik Majlis Pelancaran Inisiatif Buku Rujukan Tambahan SPM 2025 di Foyer Pejabat Menteri Besar Perak pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak menyediakan sebanyak 52,000 naskhah buku rujukan tambahan secara percuma kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai satu lagi inisiatif meningkatkan pencapaian akademik pelajar negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan menerusi Program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) hasil kerjasama strategik antara Yayasan Perak dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak.

Menurutnya, pemberian buku itu merupakan kesinambungan kepada projek rintis pada tahun lalu yang melibatkan 4,000 set buku rujukan bagi enam mata pelajaran teras kepada pelajar terpilih dan terbukti memberi kesan positif kepada prestasi pelajar.

"Susulan kejayaan itu, kita kembangkan lagi program ini. Tahun ini, kita sediakan 52,000 buku rujukan tambahan. Pelaksanaannya melibatkan semua sekolah di 12 daerah, berdasarkan keputusan akhir tahun pelajar Tingkatan Empat untuk mengenal pasti pelajar yang memerlukan sokongan akademik.

"Inisiatif bantuan buku rujukan ini merupakan satu lagi cabang program di bawah program TCS, yang sebelum ini berfokus kepada pelbagai intervensi seperti kelas tambahan, bantuan makanan percuma, program motivasi dan saringan akademik," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Inisiatif Buku Rujukan Tambahan SPM 2025 di Foyer Pejabat Menteri Besar Perak, di sini pada Rabu.

Saarani berkata, buat masa ini tumpuan diberikan kepada dua subjek wajib lulus iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah, manakala empat lagi buku rujukan bagi subjek Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam dan Sains sedang dalam proses penerbitan.

Katanya, semua buku tersebut dibangunkan oleh panel guru berpengalaman mengikut format peperiksaan terkini dan menekankan penguasaan konsep serta teknik menjawab.

Beliau berkata, inisiatif itu adalah antara pelbagai program berimpak tinggi yang digerakkan di bawah TCS untuk mendukung kecemerlangan pelajar SPM di Perak.

Artikel Berkaitan:

Antara program lain termasuk YP Smart Target A yang memberi bimbingan intensif kepada 50 pelajar berpotensi tinggi, menghasilkan 48 pelajar memperoleh keputusan semua A termasuk seorang dengan A penuh.

Program Jelajah Nyalaan Bara Api (JNBA) pula melibatkan lebih 6,000 pelajar di seluruh negeri melalui pendekatan motivasi dan sokongan emosi, manakala Program Red Flag Risiko Cicir (RFRC) berjaya mengurangkan jumlah calon gagal hadir peperiksaan daripada 611 orang pada 2023 kepada 479 orang pada 2024.

"Gabungan semua usaha ini menyumbang kepada peningkatan keputusan SPM 2024 Negeri Perak apabila Gred Purata Negeri naik kepada 4.63 berbanding 4.75 pada tahun sebelumnya. Seramai 25,774 calon (93.86 peratus) layak menerima sijil SPM dan jumlah pelajar memperoleh semua A meningkat kepada 927 orang termasuk sembilan calon straight A.

“Kita tahu kejayaan ini bukan datang daripada satu program sahaja. Guru-guru di sekolah juga memainkan peranan penting. Apa yang kita lakukan ini adalah untuk menambah baik lagi usaha sedia ada demi masa depan anak-anak Perak,” katanya.

Beliau menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus menyediakan sokongan menyeluruh bagi memastikan pelajar-pelajar di negeri ini mampu mencapai kejayaan lebih besar pada masa akan datang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!