Kerajaan Perak pertimbang guna EV sebagai kenderaan rasmi

Saarani (kanan) melihat secara dekat kemudahan pengecasan EV yang disediakan di Hotel Casuarina@Meru, Bandar Meru Raya pada Jumaat.
Saarani (kanan) melihat secara dekat kemudahan pengecasan EV yang disediakan di Hotel Casuarina@Meru, Bandar Meru Raya pada Jumaat.
A
A
A

IPOH – [DIKEMAS KINI] Kerajaan Perak sedia mempertimbangkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) sebagai kenderaan rasmi bagi barisan Exco dan pentadbiran negeri pada masa akan datang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, langkah itu sejajar dengan trend global ke arah pengurangan pelepasan karbon dioksida serta usaha melestarikan alam sekitar.

“Setakat ini belum ada keputusan rasmi, tetapi tidak mustahil untuk kita guna EV. Itu adalah trend masa kini.

“Seluruh dunia sedang menuju ke arah itu, takkan Perak mahu ketinggalan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Poin Pengecasan EV antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Casuarina Meru Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan; dan Pengerusi Casuarina Meru Sdn Bhd, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, kerajaan Persekutuan menyasarkan penyediaan sebanyak 10,000 pengecas EV di seluruh negara tahun ini, dan Perak menyasarkan sebanyak 500 unit daripada jumlah tersebut.

“Kalau ikut sasaran itu, 500 unit di Perak termasuk dalam sasaran 10,000 tersebut.

“Sama ada sasaran itu berjaya dicapai atau tidak bergantung kepada penyedia perkhidmatan, manakala kita menyediakan lokasi,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pemasangan pengecas EV turut dirancang di kawasan luar bandar dan lokasi pelancongan termasuk di Tasik Banding.

Katanya, lokasi pelancongan utama akan diberi keutamaan sebagai kemudahan bagi menyokong kedatangan pelancong menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Sementara itu, Saarani berkata pemasangan pengecas EV di Hotel Casuarina@Meru menerusi kerjasama dengan TNB merupakan satu permulaan penting dalam pembangunan infrastruktur EV di negeri ini.

“Sebelum ini ramai yang merungut Perak tiada pengecas EV, sebab itu tidak ramai membeli kereta elektrik. Tapi sekarang, pengecas sudah ada, jadi tiada alasan lagi.

“Saya ucapkan tahniah dan terima kasih kepada TNB atas kerjasama ini. Saya percaya lebih banyak kemudahan seperti ini akan diwujudkan selepas ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!