Sindiket penipuan pusat panggilan sasar mangsa luar negara tumpas

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Tiga sindiket penipuan pusat panggilan yang menyasarkan mangsa dari Hong Kong, Australia dan Singapura ditumpaskan menerusi tiga siri serbuan, Ogos lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siri serbuan ini dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
Beliau berkata, hasil risikan dan tindakan pantas pihaknya membawa kepada penahanan 39 individu termasuk lelaki warga asing serta wanita tempatan yang dipercayai berperanan sebagai operator sindiket.
Menurutnya, dalam serbuan pertama pada 28 Ogos lalu di sebuah kondominium di Subang Jaya, polis menahan 12 lelaki bukan warganegara berusia antara 23 hingga 57 tahun.

"Sindiket ini dikesan menyasarkan mangsa dari Hong Kong dan Australia dengan menyamar sebagai pegawai khidmat pelanggan melalui Facebook serta WhatsApp.
"Mereka dipercayai memperdaya mangsa supaya melabur dalam mata wang kripto melalui satu platform dalam laman sesawang," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Rabu.
Katanya, serbuan merampas 11 komputer riba, 32 telefon bimbit, sebuah modem serta tiga buku latihan mengandungi skrip memperdaya mangsa dengan nilai rampasan keseluruhan RM50,000.
Menurutnya, kesemua suspek kini direman sehingga 4 September bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.
Sementara itu, dalam serbuan kedua pada 11 Ogos lalu, Shazeli berkata, pihaknya berjaya menumpaskan satu lagi sindiket di sebuah rumah teres dua tingkat di Kota Emerald, Rawang serta menahan 10 lelaki tempatan berusia 21 hingga 30 tahun.
"Sindiket ini dipercayai beroperasi sejak April lalu dengan menyasarkan mangsa di Singapura dan dikesan menggunakan aplikasi Facebook, Tantan, Telegram dan WhatsApp untuk menyamar sebagai pegawai khidmat pelanggan serta menawarkan pakej pelaburan tidak wujud.
"Rampasan melibatkan sembilan komputer riba, satu komputer, 50 telefon bimbit, satu modem dan enam buku latihan skrip bernilai RM45,000," katanya.
Tambahnya, pada 15 Ogos lalu, polis menahan 17 individu terdiri daripada 14 lelaki tempatan, seorang lelaki warga China serta dua wanita tempatan di sebuah banglo dua tingkat di Prima Beruntung, Rawang.
"Sindiket ini beroperasi sejak Mac lalu dengan menawarkan kerja sambilan membuat review makanan di platform media sosial.
"Mangsa dijanjikan bayaran komisen sebanyak 70 USDT melalui laman sesawang, namun mangsa diperdayakan selepas membuat bayaran tambahan untuk mendapat keuntungan lebih tinggi," katanya.
Jelasnya, sebanyak 15 komputer, 34 telefon bimbit, dua modem serta sebuah router bernilai RM75,000 dirampas menerusi serbuan ini.
"Kes kedua disiasat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak manakala kes ketiga disiasat IPD Hulu Selangor.
"Kesemua suspek melibatkan kedua kes ini didakwa di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan," katanya.
Tambahnya, nilai kerugian kes penipuan dalam talian di Selangor sepanjang Januari sehingga Ogos mencatatkan sebanyak RM515 juta.
"Pihak polis komited membanteras jenayah siber dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat.
"Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan tawaran pelaburan yang mencurigakan dan menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui kewujudan pusat panggilan penipuan ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
