Tiga individu rugi lebih RM485,000 jadi mangsa sindiket tipu dalam talian

KUANTAN – Tiga individu terdiri daripada seorang peniaga, pembantu jualan dan ahli perniagaan di negeri ini berputih mata apabila kerugian keseluruhan melebihi RM485,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian dalam tiga kejadian berasingan yang berlaku pada Januari dan April lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, antara kes yang dilaporkan melibatkan seorang peniaga lelaki berusia 35 tahun yang mengalami kerugian sebanyak RM278,590.
Menurutnya, mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang mendakwa kononnya wakil sebuah institusi latihan kerajaan pada 23 April lalu.
“Suspek membuat tempahan barangan yang diniagakan mangsa selain meminta membekalkan cenderahati melalui pihak ketiga yang disyorkan.
“Mangsa diperdaya hingga membuat sembilan transaksi pemindahan wang ke lapan akaun bank berbeza, melibatkan jumlah keseluruhan RM278,590, walaupun penghantaran bagi setiap pesanan belum dilakukan,” katanya.
Yahaya berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas gagal menghubungi suspek dan kemudian tampil membuat laporan polis.
“Sumber kewangan yang digunakan adalah wang simpanan dan dana syarikat milik mangsa,” tambah beliau.
Dalam kejadian berasingan, seorang wanita berusia 58 tahun yang bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah syarikat alat ganti kenderaan kerugian RM100,000 selepas tertipu dengan iklan menjual mangga harumanis yang dilihat melalui aplikasi Facebook pada 29 April lalu.
Yahaya berkata, mangsa tertarik dengan iklan tersebut dan membuat pesanan serta pembayaran melalui pautan yang diterima, namun transaksi berkenaan gagal diselesaikan.
“Keesokan harinya, mangsa menerima pesanan ringkas memaklumkan akaun banknya disekat dan diminta untuk mengaktifkannya semula melalui pautan lain yang diberikan suspek.
“Tanpa sebarang rasa curiga, mangsa mengikuti arahan dalam pautan tersebut.
“Mangsa hanya menyedari ditipu apabila mendapati wang simpanan dalam akaun banknya berkurangan,” katanya.
Tambah beliau, hasil semakan menunjukkan terdapat 10 transaksi pengeluaran wang mencurigakan dari akaun mangsa, menyebabkan kerugian sebanyak RM100,000.
Dalam satu lagi kes, seorang ahli perniagaan lelaki berusia 50 tahun kerugian RM107,000 selepas diperdaya oleh individu dikenali sebagai ‘Hana Safiyah’ dalam urusan pelaburan saham yang dipercayai tidak wujud.
Yahaya berkata, mangsa telah melayari Facebook pada 21 Januari lalu dan berminat untuk menyertai pelaburan saham yang diiklankan.
“Mangsa kemudian menghubungi wanita tersebut sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp pelaburan berkenaan.
“Mangsa diarahkan untuk memuat turun satu aplikasi melalui pautan yang diberikan dan kemudiannya membuat 12 transaksi pindahan wang ke empat akaun bank berbeza, melibatkan pelaburan keseluruhan berjumlah RM107,000,” jelasnya.
Tambah beliau, selepas bayaran dibuat, mangsa dimaklumkan bahawa keuntungan dan modal pelaburannya telah mencecah RM449,875.80.
“Namun, mangsa mula mengesyaki ditipu apabila cuba membuat pengeluaran tetapi diminta membayar cukai berjumlah RM30,000 oleh suspek,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

