Pos Hong Kong henti hantar bungkusan ke AS

HONG KONG – Pejabat Pos Hong Kong akan menghentikan penghantaran bungkusan kecil ke Amerika Syarikat (AS) berikutan keputusan Washington untuk mengenakan cukai tarif ke atas bungkusan bernilai rendah dari wilayah itu bermula 2 Mei.
Kerajaan Amerika Syarikat sebelum ini memaklumkan bahawa mereka akan menamatkan pengecualian cukai kastam yang dikenali sebagai pengecualian “de minimis”, yang membenarkan bungkusan bernilai bawah AS$800 (RM3,800) masuk tanpa dikenakan cukai.
Kini, bungkusan dari Hong Kong akan dikenakan tarif setinggi 120 peratus.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, kerajaan Hong Kong memaklumkan bahawa Hongkong Post tidak akan memungut cukai tersebut bagi pihak Washington dan akan menghentikan penerimaan bungkusan bukan mel udara yang mengandungi barangan ke destinasi di Amerika Syarikat serta-merta kerana penghantaran melalui laut mengambil masa yang lebih lama.
Bagaimanapun, bungkusan mel udara masih akan diterima sehingga 27 April.
Hanya kiriman yang mengandungi dokumen sahaja akan terus diterima untuk dihantar ke AS.
“Orang ramai di Hong Kong harus bersedia untuk membayar caj yang sangat tinggi dan tidak munasabah akibat tindakan Amerika Syarikat yang kami sifatkan sebagai tidak wajar dan membuli,” jelasnya.
Langkah ini mencerminkan ketegangan perdagangan yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat dan China, di mana Hong Kong turut terkesan walaupun berstatus sebagai pelabuhan bebas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

