Wanita Bangladesh ditahan, imigresen bongkar sindiket laman palsu eVISA

Zakaria
Zakaria
A
A
A

PUTRAJAYA - Taktik licik sindiket memperdaya warga asing menerusi laman sesawang palsu dikenali sebagai Key Malaysia untuk permohonan eVISA tumpas susulan penahanan seorang wanita warga Bangladesh baru-baru ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, suspek berusia 32 tahun itu didapati memiliki Pas Lawatan Sosial.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek kerap memasuki Malaysia sejak tiga tahun lalu sebelum ditahan kerana dipercayai menjadi dalang utama kegiatan penipuan terbabit.

"Modus operandi suspek adalah mensasarkan warganegara asing yang diwajibkan memiliki visa sebelum masuk ke Malaysia.

"Sindiket dipercayai mengenakan bayaran dua hingga tiga kali ganda berbanding kadar sebenar eVISA," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, siasatan awal mendapati laman sesawang itu telah menerima sebanyak 52,672 permohonan eVISA dengan caj antara RM300 hingga RM500 setiap permohonan, sekali gus menjana keuntungan besar sejak beroperasi pada tahun 2022.

"Laman palsu berkenaan sengaja direka hampir menyerupai laman rasmi JIM iaitu ‘eVisa Malaysia’ bagi memperdayakan orang ramai.

"Mereka menawarkan dua kategori kelulusan iaitu ‘regular visa’ yang dijanjikan siap dalam tempoh tiga hingga lima hari bekerja, dan ‘urgent visa’ kononnya diluluskan dalam dua hingga tiga hari bekerja," katanya.

Menurutnya, maklumat yang diperoleh daripada pemohon akan dipindahkan ke laman rasmi ‘eVisa Malaysia’ oleh sindiket.

Artikel Berkaitan:

"Namun selepas bayaran dibuat, pemohon akan menerima notifikasi kononnya permohonan mereka ditolak daripada laman palsu itu.

"Malah, jika pemohon cuba mendapatkan penjelasan melalui khidmat pesanan langsung (live chat), mereka pula diugut bahawa pasport akan disenarai hitam," katanya.

Zakaria berkata, suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala suaminya yang juga warganegara Bangladesh telah diberikan notis hadir bagi membantu siasatan.

Beliau menegaskan, kewujudan laman sesawang palsu seperti itu bukan sahaja mengelirukan orang ramai malah turut mencalarkan imej serta kredibiliti JIM.

"Selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani, JIM akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan dan memastikan keselamatan serta integriti negara sentiasa terpelihara.

"JIM komited memperkasakan tindakan penguatkuasaan secara berterusan dalam mengekang sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara sejajar dengan prinsip Malaysia Madani yang menekankan keselamatan, kemakmuran dan keharmonian sosial," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!