Generasi digital dihantui fenomena FOBI

DI ERA TikTok hari ini, ramai orang hidup dalam dilema sosial yang pelik. Di satu sisi, ada yang mengejar populariti kerana takut ketinggalan trend namun di sisi lain, semakin ramai pula dihantui ketakutan baharu yang disebut FOBI (Fear of Being Included).
Mereka dibelenggu rasa cemas apabila diri tiba-tiba ‘diseret’ masuk dalam sesuatu yang tidak pilih.
Fenomena FOBI ini makin jelas kelihatan dalam budaya media sosial. Bayangkan kita sedang makan di kedai mamak, tiba-tiba wajah dirakam oleh orang lain dan tanpa izin, rakaman itu tular serta dijadikan bahan gurauan.
Bagi sesetengah orang, ia mungkin sekadar hiburan tetapi bagi mereka yang mengalami FOBI, ia mencetuskan keresahan melampau, seolah-olah maruah dan privasi mereka dirampas.
Kisah FOBI ini turut divisualkan dengan baik dalam siri Netflix, Wednesday. Watak Wednesday Addams secara terang-terangan menolak tekanan sosial untuk menyertai kelompok tertentu. Ketika dia mengucapkan dialog popularnya, “I have FOBI”, ia terus menjadi punchline generasi yang berasakan tekanan serupa.
Wednesday tidak benci manusia, tetapi dia benci dipaksa dan inilah realiti yang ramai anak muda hadapi hari ini. Mereka tidak mahu terjebak dalam sesuatu hanya kerana orang lain mahu melihat mereka terlibat.
Jika FOMO (Fear of Missing Out) lahir daripada rasa takut ketinggalan, FOBI pula muncul daripada rasa takut termasuk. FOMO membuatkan orang berlumba-lumba sertai cabaran TikTok seperti tarian ‘Kakak Naga’ kerana tidak mahu dianggap kolot, FOBI pula menimbulkan keresahan pada mereka yang bimbang wajah terakam ketika orang lain menari, lalu tersebar sebagai bahan ketawa.
FOMO menolak kita untuk masuk, FOBI menahan kita daripada terseret. Dua ketakutan ini nampak berlawanan tetapi sebenarnya sama-sama lahir daripada tekanan sosial dunia digital.
FOBI bukan sama dengan sifat introvert. Introvert ialah ciri keperibadian semula jadi di mana seseorang lebih selesa menyendiri dan cepat letih bila terlalu lama dalam suasana sosial, tetapi masih boleh menyesuaikan diri bila perlu.
FOBI pula berbeza kerana ia bukan sekadar pilihan, sebaliknya ketakutan melampau untuk terseret ke dalam situasi sosial atau kandungan tanpa rela.
Jika introvert lebih kepada kecenderungan personaliti, FOBI pula mencerminkan keresahan sosial yang boleh menjejaskan kesejahteraan mental.
Fenomena FOBI makin ketara di Malaysia. Kes pelajar sekolah yang wajahnya dirakam tanpa izin lalu tular, pasangan bergaduh yang aib rumah tangga mereka disiarkan di TikTok atau individu biasa yang tiba-tiba menjadi bahan bualan kerana dirakam ketika membeli-belah. Semua ini menunjukkan betapa mudahnya seseorang ‘termasuk’ dalam dunia maya tanpa rela.
Kajian oleh Zhang Kunhao et al. (2024) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) bertajuk ‘Kesan Perbandingan Sosial, Fomo, Buli siber, dan Ketagihan Media Sosial pada Kebimbangan Sosial dalam Kalangan Belia Malaysia’ turut mendapati bahawa lebih separuh belia Malaysia iaitu 53.7 peratus mengalami tahap FOMO tinggi, manakala 61.8 peratus menunjukkan simptom kecemasan sosial akibat media sosial.
Walaupun istilah FOBI belum banyak dikaji secara formal, dapatan ini membuktikan wujud tekanan besar dalam kalangan anak muda untuk sama ada ikut trend atau takut terseret ke dalamnya tanpa rela.
TikTok dan budaya tular bukan sekadar ruang hiburan, tetapi pentas yang mencipta ketakutan sosial baharu. Wednesday Addams mewakili suara generasi yang tidak mahu dipaksa menjadi sebahagian daripada sesuatu yang tidak mereka pilih. Bezanya, Wednesday hanyalah watak fiksyen manakala kita di dunia nyata berdepan risiko FOBI setiap hari.
Akhirnya, pilihan ada di tangan kita. Apakah kita mahu menjadi mangsa FOBI yang diburu rasa takut atau kita berani mengawal ruang peribadi agar tidak mudah dijadikan tontonan?
Dunia tular mungkin tidak boleh dihentikan, tetapi kita masih boleh menegaskan sempadan, kerana privasi tetap hak kita!
* Asmaliza Mansor ialah Sub Editor Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
