Tindakan tegas calon langgar peraturan pilihan raya

Satar
Satar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Transparency International-Malaysia (TI-M) mendesak tindakan tegas diambil terhadap calon menggunakan dorongan untuk membeli undi ketika berkempen dalam PRK Cameron Highlands.

Presidennya, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, pegawai dan anggota daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis perlu mengawasi kempen calon serta ejen dalam memastikan semua peraturan dipatuhi.

Menurutnya, tindakan perlu diambil terhadap mana-mana pesalah sekiranya mereka melakukan kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (EOA), Akta SPRM 2009 atau Kanun Keseksaan.

“Sebelum tarikh pencalonan dan kempen secara rasmi bermula lagi, SPRM telah mendedahkan wujud dakwaan berlakunya rasuah.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'PH tak pernah beri duit kepada sesiapa']

[ARTIKEL BERKAITAN: PRK Cameron Highlands: PH nafi beli undi]

“Ia termasuklah menganjurkan majlis dengan makanan serta minuman disediakan kepada tetamu di mana ia adalah kesalahan di bawah EOA,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, pertukaran kerajaan pada Mei 2018 tidak membawa perubahan diharapkan berkaitan cara parti politik menjalankan kempen pilihan raya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) juga telah merekodkan 10 kesalahan dalam PRK Parlimen Port Dickson malah kesalahan turut dilaporkan dalam PRK Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

“Sementara undang-undang sedia ada diperkukuhkan, pihak berkaitan termasuk SPR dan agensi lain boleh mengambil tindakan tegas terhadap laporan yang mempunyai bukti.

“Sebagai contoh, mengikut seksyen 15A dalam EOA, calon mesti merekodkan semua perbelanjaan dan had perbelanjaan adalah RM200,000. Adakah semua calon mematuhi had tersebut berdasarkan maklumat dan bukti diberikan?

“Pelanggaran undang-undang ini termasuk di bawah Seksyen 10 EOA dan boleh disabitkan kesalahan rasuah di bawah Akta SPRM 2009,” ujarnya.

Tegas beliau, tidak seharusnya wujud toleransi dalam politik wang tidak kiralah ia dilakukan mana-mana parti politik.

“TI-M menggesa semua calon dan penyokong menjalankan kempen mengikut peraturan dan agensi terlibat menguatkuasakan undang-undang sebaiknya.

“Ia bagi memastikan proses demokrasi di Malaysia berjalan dengan bersih, adil dan telus di PRK Cameron Highlands,” katanya.