Pengukuhan NACS 2024–2028 langkah penting tangani rasuah

SHAH ALAM - Pengukuhan pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS 2024–2028) merupakan langkah penting yang perlu digerakkan oleh kerajaan dalam menangani kegiatan rasuah di negara ini.
Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin berkata, strategi tersebut merangkumi 16 sub-strategi yang telah dilaksanakan oleh 11 kementerian dan agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Antara contoh ialah memperkenalkan modul pengukuhan integriti di sekolah, sistem e-vetting penjawat awam dan pengisytiharan pemilik benefisial dalam perolehan awam.
“SPRM juga perlu bekerjasama dengan universiti dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memperkenalkan pendidikan antirasuah melalui komik, animasi dan maskot ‘wira antirasuah’,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Ujar Badlishah, masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut boleh memainkan peranan melalui penghasilan filem pendek, animasi interaktif dan kempen kesedaran bagi membentuk sikap antirasuah dalam kalangan belia.
Menurutnya, penekanan terhadap pendidikan berasaskan nilai seperti amanah dan taqwa sangat penting untuk membina integriti dari akar umbi.
“Masyarakat perlu menolak rasuah secara total walau sekecil ‘duit kopi’ sekalipun. Media bebas dan NGO seperti Ikram, Rasuah Busters serta individu perlu berani memainkan peranan sebagai pemantau dan pendesak.
“Justeru, pemimpin komuniti, guru dan ibu bapa perlu menunjukkan contoh integriti dalam kehidupan seharian,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

