Harapan baharu bendung isu buli

Mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Menangani Isu Buli pada 2 September ini menjadi titik permulaan penting untuk melihat sejauh mana komitmen kerajaan dalam menangani gejala yang semakin membimbangkan ini. Gambar hiasan
Mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Menangani Isu Buli pada 2 September ini menjadi titik permulaan penting untuk melihat sejauh mana komitmen kerajaan dalam menangani gejala yang semakin membimbangkan ini. Gambar hiasan
A
A
A

PENUBUHAN Jawatankuasa Khas Menangani Isu Buli oleh Jemaah Menteri adalah satu langkah yang wajar dipandang serius dan disambut baik oleh seluruh rakyat.

Mesyuarat pertama yang dijadualkan pada 2 September ini menjadi titik permulaan penting untuk melihat sejauh mana komitmen kerajaan dalam menangani gejala yang semakin membimbangkan ini.

Sebagai isu yang melibatkan nyawa, emosi dan masa depan anak-anak kita, rakyat menaruh harapan besar agar jawatankuasa ini benar-benar berfungsi dan bukan sekadar wujud di atas kertas.

Dengan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, diharap usaha ini akan bergerak ke arah penyelarasan menyeluruh antara kementerian dan agensi yang sebelum ini bertindak secara berasingan.

Fokus jawatankuasa untuk memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) di asrama serta cadangan mewujudkan tribunal antibuli adalah antara perkara yang amat ditunggu.

Rakyat mahu melihat pendekatan baharu yang lebih pantas, mesra mangsa dan tidak membebankan proses undang-undang.

Lebih penting, penubuhan jawatankuasa ini juga selaras dengan pindaan Kanun Keseksaan, khususnya Seksyen 507C hingga 507G yang telah mula berkuat kuasa sejak Julai lalu.

Penyelarasan SOP di peringkat sekolah, asrama dan institusi lain akan mengelakkan situasi di mana pelaksanaan berbeza-beza antara satu tempat dengan tempat lain.

Dalam konteks ini, keterlibatan Jabatan Peguam Negara, Kementerian Pendidikan, Mara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta agensi berkaitan memberi gambaran jelas bahawa kerajaan serius menangani isu buli secara menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

Rakyat kini menunggu hasil daripada mesyuarat pertama pada 2 September. Harapan besar diletakkan agar ia bukan sahaja melahirkan pelan tindakan jangka pendek, tetapi juga pelan jangka panjang yang mampu melindungi anak-anak daripada menjadi mangsa keganasan mental dan fizikal.

Usaha membendung budaya buli hanya akan berjaya jika semua pihak berganding bahu dan tidak bergerak secara bersendirian.

Jawatankuasa khas ini adalah platform terbaik untuk menyatukan suara rakyat, suara mangsa dan suara kerajaan dalam melawan gejala yang sudah terlalu lama menghantui masyarakat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!