Johor tubuh jawatankuasa khas bendung kes buli pelajar sekolah - Exco

Jawatankuasa khas itu turut melibatkan agensi penguatkuasaan seperti polis.Foto kecil: Aznan
Jawatankuasa khas itu turut melibatkan agensi penguatkuasaan seperti polis.Foto kecil: Aznan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor menubuhkan jawatankuasa khas bagi membendung masalah buli yang berlaku terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah.

Exco Pendidikan dan Penerangan, Aznan Tamin berkata, jawatankuasa berkenaan akan melibatkan lebih 30 jawatankuasa khas merangkumi pelbagai aspek seperti kesihatan, pendidikan, kebajikan, wanita, agama serta keselamatan.

Menurutnya, jawatankuasa khas itu turut melibatkan agensi penguatkuasaan seperti polis.

“Kita tubuhkan jawatankuasa ini bagi menyusun langkah dan pendekatan khusus bagi menangani masalah buli di peringkat negeri.

“Di peringkat kerajaan negeri memang kita gerakkan Safe dan No Buli. Oleh itu, kita akan bermesyuarat hari ini (Isnin) bagi meletakkan beberapa pendekatan yang sesuai untuk dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Citra Karisma 2025 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini pada Isnin.

Sementara itu Aznan berkata, pihaknya sudah pun mendapat maklumat yang diperlukan mengenai kejadian buli melibatkan pelajar berusia 10 tahun di sebuah sekolah agama di negeri ini.

Katanya, mangsa yang juga merupakan pesakit kanser hidung dilaporkan mengalami gegaran otak dan masih dirawat di hospital.

“Kes ini turut mendapat perhatian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mahu siasatan segera dijalankan.

Artikel Berkaitan:

“Kita dah dapat maklumat dan kita akan ziarah. Kita juga akan selesaikan isu yang dibangkitkan keluarga tersebut,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!